
Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, dan Muahmad Mohd Mohtar, 25, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N Kanageswari, lapor Sinar Harian.
Menurut pertuduhan, pasangan itu didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang berusia sembilan tahun di dalam tandas perempuan sekolah antara 9.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 7 Okt lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni manakala Nor Aleeya diwakili peguam, Norfazrin Jamal dan Muahmad tidak diwakili peguam.
Norazihah mencadangkan kedua-dua tertuduh diberi jaminan masing-masing RM30,000 dengan seorang penjamin bersama beberapa syarat tambahan.
Namun, Norfazrin merayu anak guamnya dibenarkan ikat jamin RM10,000 memandangkan pendapatan bulanannya hanya RM1,600 selain perlu menanggung ibu bapa serta empat adik yang masih bersekolah.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dan menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan semula kes.