Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan beri ganjaran ikut pencapaian

Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan beri ganjaran ikut pencapaian

Kerangka baharu pastikan ganjaran hanya disalur selepas prestasi sebenar dicapai, bukan pada peringkat awal seperti sebelum ini, kata menteri Miti.

Tengku Zafrul Aziz
Menteri Miti Tengku Zafrul Aziz berkata, antara metrik prestasi yang dinilai termasuk penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi serta perbelanjaan R&D. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan akan memastikan pencapaian sebenar dapat diukur dan digalakkan, dengan insentif akan hanya disalurkan apabila prestasi yang ditetapkan dapat dipenuhi, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, antara metrik prestasi yang dinilai termasuk penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi serta perbelanjaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijangka meningkatkan tahap kompleksiti ekonomi negara.

“Berbeza dengan kerangka terdahulu yang menyalurkan insentif pada peringkat awal, kerangka baharu ini memastikan ganjaran hanya disalurkan selepas prestasi sebenar dicapai.

“Kerajaan mahu melihat limpahan ekonomi. Oleh itu, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan turut penting sekiranya mereka dapat memenuhi (metrik prestasi),” kata beliau semasa program Ruang Bicara bertajuk ‘Memperkasakan Ekonomi & Strategi Rundingan Tarif’ terbitan Bernama TV hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) selaku agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) bersedia melaksanakan kerangka insentif baharu tersebut sepenuhnya bagi sektor perkilangan pada awal suku pertama 2026, diikuti sektor perkhidmatan pada awal suku kedua tahun depan.

Menurutnya, kerangka itu akan mengimbangi usaha menarik kegiatan berpertumbuhan tinggi untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi dan merapatkan jurang ekonomi antara kawasan sejajar dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

“Ini akan menjamin pelaburan berkualiti tinggi dan meningkatkan gaji,” katanya.

Dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan komited menawarkan insentif cukai melalui pengenalan Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan selaras dengan NIMP yang menumpukan kepada kegiatan berpertumbuhan tinggi.

Perdana menteri berkata, kerangka itu mengutamakan pelaburan yang menjana pekerjaan bernilai tinggi di samping merapatkan jurang ekonomi antara kawasan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, eksport juga perlu diberikan penekanan, yang menyaksikan pada pengumuman Belanjawan 2026, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memberikan geran Pembangunan Pasaran dan menyediakan RM60 juta bagi memudah cara perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengeksport produk ciptaan Malaysia ke pasaran sedia ada dan pasaran baharu termasuk Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.

Menurutnya, PMKS berpeluang mempelbagaikan pasaran dan memfokuskan kepada pasaran baharu serta tidak bergantung sepenuhnya kepada pasaran tradisional sebelum ini.

Exim Bank pula menyediakan pinjaman mudah untuk membantu syarikat yang terkesan akibat ketegangan tarif perdagangan global dengan dana sebanyak RM500 juta.

“Dana itu juga bagi mengekalkan kelangsungan eksport PKS, dan Miti akan memastikan pengeksport PKS memanfaatkan 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada.

“Kita menjangkakan banyak lagi FTA dimuktamadkan sekali gus dapat membantu syarikat PKS ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.