
Dalam kenyataan, Menteri Fadhlina Sidek merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan berkata pasukan kaunselor dan guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melakukan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru, dan seluruh warga sekolah itu.
Pihaknya mengambil maklum penahanan suspek dengan kes disiasat polis, selain menyebut KPM akan bekerjasama penuh dalam proses siasatan.
Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat, berkata mangsa berusia 16 tahun ditikam beberapa kali oleh suspek berusia 14 tahun, yang juga pelajar di sekolah sama.
Dua senjata tajam dipercayai digunakan turut dirampas, sambil menyatakan tiada mangsa lain terlibat.
Motif kejadian masih disiasat, namun Shamsudin berkata siasatan awal tidak menemui unsur buli.
Tiada ‘unsur perkauman’, kata MB Selangor
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Besar Amirudin Shari berkata beliau dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar bahawa kes tidak melibatkan ‘unsur perkauman’.
“Sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan, saya tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui oleh ibu bapa mangsa…Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata, kejadian berlaku akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat exco, dan beberapa langkah termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera.