IIB pacu pelaburan hijau, inovasi digital jayakan Belanjawan 2026

IIB pacu pelaburan hijau, inovasi digital jayakan Belanjawan 2026

Iskandar Investment Berhad (IIB) mahu jadikan Iskandar Puteri pemacu utama pertumbuhan ekonomi selatan negara melalui JS-SEZ.

forest-city
JS-SEZ merangkumi wilayah pembangunan Iskandar, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan Desaru – dengan keluasan tanah berjumlah 357,128 hektar.
PETALING JAYA:
Iskandar Investment Berhad (IIB) komited memainkan peranan penting menjayakan aspirasi Belanjawan 2026, dengan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi serantau, pembangunan bakat belia serta pelaburan hijau dan digital.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Idzham Mohd Hashim berkata belanjawan itu menunjukkan iltizam kerajaan mengimbangi pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat melalui pendekatan mampan.

“IIB komited menyokong pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), memperkukuh bakat melalui inisiatif seperti Johor Talent Development Council (JTDC) dan Program K-Youth, serta memajukan pelaburan hijau dan inovasi di selatan,” katanya dalam kenyataan.

Idzham Mohd Hashim.

Beliau berkata, gabungan pelaburan strategik, pembangunan bakat dan teknologi hijau akan membantu Johor muncul sebagai hab ekonomi serantau kukuh dan berdaya saing.

JS-SEZ dilihat sebagai pemangkin utama pertumbuhan Johor dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM37.1 bilion bagi separuh pertama 2025 — mewakili 66% daripada jumlah pelaburan negeri itu. Johor juga merekodkan FDI tertinggi di Malaysia sebanyak RM25.5 bilion bagi tempoh sama.

Idzham berkata, IIB akan terus menyokong projek berimpak tinggi di bawah JS-SEZ supaya manfaat ekonomi dapat dikongsi dengan masyarakat setempat.

Dalam aspek pembangunan tenaga kerja, IIB menyambut baik pengumuman RM200 juta oleh Khazanah Nasional untuk Program K-Youth, yang memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam bidang semikonduktor, teknologi digital dan kejuruteraan.

IIB akan bekerjasama dengan Khazanah, penyedia latihan dan institusi pendidikan bagi memastikan pelaksanaan K-Youth di Johor berjaya serta melengkapi usaha JTDC untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Selain itu, IIB juga berpotensi bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam projek kecerdasan buatan (AI) dan pusat inovasi di bawah Agenda Inovasi Nasional.

Seiring komitmen hijau, IIB menyokong pelaksanaan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) bagi menggalakkan pelaburan rendah karbon, tenaga cekap dan pembangunan bandar pintar mesra alam di Iskandar Malaysia.

Syarikat itu juga menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan program pembeli rumah pertama bawah RM500,000, yang sejajar dengan projek Wawari West Park Homes di Iskandar Puteri untuk menyediakan kediaman mampu milik bagi golongan muda.

Dengan sokongan kerajaan persekutuan dan negeri, Idzham menegaskan IIB akan terus menjadi pemacu utama transformasi ekonomi Iskandar Malaysia melalui pelaburan berimpak tinggi, pembangunan komuniti dan pemerkasaan bakat tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.