
S Vell Paari berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas, selaras dengan langkah Australia yang mengenakan denda hingga AUD50 juta terhadap mana-mana syarikat yang tidak mematuhi peraturan serupa.
Katanya, cadangan itu mengambil kira keuntungan syarikat media sosial yang mencecah berbilion ringgit, serta keperluan mendesak untuk melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan berbahaya di alam maya.
“Jika kompaun terlalu rendah, (pengendali platform) tidak akan gentar. Mereka boleh bayar denda dan terus melakukan pelanggaran yang sama,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, ketiadaan kawalan terhadap umur pengguna menyebabkan kanak-kanak mudah terdedah kepada pelbagai risiko termasuk penipuan dalam talian, buli siber, kandungan ekstrem dan manipulasi menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Media sosial dan AI ini ibarat pisau. Ia boleh digunakan untuk pendidikan, perniagaan dan komunikasi tetapi tanpa kawalan, ia boleh merosakkan dan mencederakan minda kanak-kanak,” katanya.
Minggu lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan semua platform media sosial mengesahkan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026 bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dalam talian, dengan rundingan bersama agensi dan platform media sosial telah dimulakan.
Sementara itu, Senator Abdul Halim Suleiman turut meminta kerajaan mengambil tindakan lebih tegas bagi mengawal kandungan media social termasuk TikTok dan Instagram, yang didakwa semakin sukar dikawal akibat algoritma komersial yang mempromosi kandungan tidak sesuai.
“Jika tiada undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap pengiklanan ini, kita bimbang teknologi akan melemahkan jati diri dan disiplin anak kita, mendorong mereka ke arah perkara lebih buruk bermula daripada sekadar ‘ingin mencuba’.
“Saya mohon menteri komunikasi beri perhatian serius terhadap isu ini,” katanya.
Sidang Dewan Negara bersambung esok.