Sidang Kemuncak Asean: Malaysia perlu pastikan perbincangan beri impak nyata

Sidang Kemuncak Asean: Malaysia perlu pastikan perbincangan beri impak nyata

Selaku pengerusi Asean, Malaysia juga perlu perkukuh kesepaduan serantau dan bawa manfaat kepada negara anggota dan rakan dialog, kata perdana menteri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika meninjau persiapan Sidang Kemuncak Asean Ke-47 di KLCC petang tadi, bersama Menteri Luar Mohamad Hasan. (Gambar Pejabat Perdana Menteri)
KUALA LUMPUR:
Selaku pengerusi Sidang Kemuncak Asean ke-47, Malaysia perlu memastikan setiap perbincangan yang berlangsung memberikan impak nyata, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia juga perlu memperkukuh kesepaduan serantau dan membawa manfaat kepada negara-negara anggota serta rakan dialog yang terlibat dalam sidang yang dijadualkan pada 26 hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Saya juga telah mengarahkan seluruh jentera kerajaan dan agensi berkaitan untuk melaksanakan persiapan terbaik dengan ketelitian dan komitmen tertinggi.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus dalam memastikan segala urusan persiapan ini berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar juga berkongsi beberapa keping gambar ketika meninjau persiapan Sidang Kemuncak Asean di KLCC, diiringi Menteri Luar Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin, petang tadi.

Sementara itu, Shamsul Azri berkata, lawatan itu bertujuan memastikan setiap aspek penganjuran berada pada tahap terbaik, merangkumi persiapan lokasi, logistik, kawalan keselamatan, perjalanan program dan penyelarasan keseluruhan penganjuran.

“Melihat kepada komitmen dan kesungguhan seluruh barisan urus setia, saya boleh katakan bahawa Malaysia kini bersedia untuk menyambut kehadiran lebih 30,000 delegasi bermula 25 Okt ini,” katanya menerusi Facebook.

Sidang Kemuncak Asean ke-47 menjadi kemuncak kepada Kepengerusian Asean Malaysia 2025 yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Acara itu akan menghimpunkan pemimpin negara anggota Asean bersama rakan dialog dan tetamu jemputan, dengan Anwar menyatakan bahawa ia dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.