Saksi masuk hospital, saman SRC RM42 juta terhadap Najib ditangguh

Saksi masuk hospital, saman SRC RM42 juta terhadap Najib ditangguh

Pengarah Urusan Ihsan Perdana Shamsul Anwar Sulaiman dirawat di hospital akibat jangkitan Influenza A, manakala bekas pengarah SRC Suboh Yassin tidak hadir ke mahkamah.

najib razak
SRC International dan anak syarikatnya menyaman bekas perdana menteri Najib Razak bagi mendapatkan semula RM42 juta didakwa diseleweng daripada syarikat itu.
KUALA LUMPUR:
Saman SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta terhadap Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan kerana tiada saksi hadir untuk memberi keterangan.

Peguam Kwan Will Sen yang mewakili SRC International memaklumkan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bahawa Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman tidak hadir kerana dimasukkan ke hospital.

“Petang semalam, kami diberikan sijil cuti sakit dan gambar menunjukkan dia dimasukkan ke hospital kerana Influenza A.

“Terdapat kebimbangan mungkin wujud komplikasi pada jantungnya, oleh itu dia sedang menjalani prosedur.

“Kebimbangannya adalah kemungkinan terdapat beberapa komplikasi pada jantungnya. Oleh itu, dia sedang menjalani rawatan.”

Beliau berkata, saksi berikut yang juga bekas pengarah SRC International, Suboh Yassin kini berada di Johor, boleh dipanggil memberi keterangan petang ini.

Tetapi, hakim berkata, saksi berusia 74 tahun itu terpaksa bergegas dari Johor dan mungkin menjejaskan persiapannya, selain dirinya mempunyai satu lagi kes hari ini.

Raja Ahmad kemudian menggesa kedua-dua pihak lebih cekap dalam merancang kehadiran saksi mereka.

“Saya ingin mengingatkan peguam untuk memastikan anda bersedia dengan saksi anda.

“Jika saksi pertama dan kedua tidak dapat hadir, saksi ketiga atau keempat akan dipanggil memberi keterangan.”

Perbicaraan seterusnya ditetapkan 6 Nov ini.

SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd menyaman bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan semula RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat terbabit.

Pada Ogos 2022, Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berkaitan dana SRC International.

Hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kemudian dikurangkan kepada enam tahun serta RM50 juta susulan pengampunan diraja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.