
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata lelaki 27 tahun itu menunjukkan sikap agresif sejak awal tahun ini apabila pasport baharunya tidak diproses seperti dijangka.
“Suspek ke pejabat Kedutaan Tajikistan untuk menuntut pasport baharu, namun enggan mematuhi prosedur ditetapkan sebelum menjerit dan cuba memasuki premis tanpa kebenaran.
“Suspek turut dikesan berkeliaran pada waktu malam di kawasan kedutaan serta membuat panggilan telefon menggunakan kata-kata kesat dan ugutan lisan terhadap pegawai bertugas,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek turut menghantar mesej ugutan akan membunuh diri di depan kedutaan jika permintaannya tidak dipenuhi dan memuat naik video berunsur tohmahan terhadap pihak berkuasa Tajikistan di media sosial.
Susulan itu, katanya, suspek ditahan di kawasan Ampang pada 11.20 pagi 8 Okt lalu dan kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan. Polis turut rampas sebuah telefon bimbit.
Menurutnya, suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap kelewatan proses permohonan pasport baharu oleh pihak kedutaan.”