Kibar bendera Israel di Sg Kelantan, polis ambil keterangan penganjur

Kibar bendera Israel di Sg Kelantan, polis ambil keterangan penganjur

Penganjur malam tadi tampil mohon maaf, sedia beri kerjasama penuh kepada siasatan polis.

bendera israel
Lakonan semula kibar bendera Israel pada Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza di Sungai Kelantan Jumaat lepas timbulkan kontroversi. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Polis akan mengambil keterangan penganjur berhubung isu pengibaran bendera Israel ketika Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza di Kota Bharu minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata keterangan itu akan diambil hari ini, lapor Kosmo.

Semalam, Yusoff dilaporkan berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (kawalan mempamer) 1949.

Katanya, siasatan tetap akan dijalankan walaupun perbuatan itu sekadar gimik dan lakonan semula yang dikaitkan dengan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Jumaat lalu, lebih 1,000 bot menyertai pelayaran sejauh 8km di Sungai Kelantan sebagai tanda sokongan terhadap Palestin.

Terdapat sekurang-kurangnya sebuah bot yang mengibarkan bendera Israel dengan penumpang membuat lakonan semula sebagai tentera  bersama ‘tawanan’ di atas bot itu.

Tindakan itu menimbulkan kontroversi termasuk menerima kecaman Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan wakil rakyat DAP RSN Rayer.

Akmal dilaporkan berkata, tindakan mengibarkan bendera itu seolah-olah menunjukkan rasa hormat terhadap sesebuah negara yang tidak layak dihormati, manakala Rayer mempersoalkan sikap berdiam diri Perikatan Nasional (PN) berhubung insiden berlaku di negeri ditadbir PAS.

Malam tadi, pengarah program Khairul Hafiz Hassan memohon maaf berhubung insiden itu dan berkata pihaknya sedia beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Saya dengan tulus ikhlas mohon maaf sekiranya ada mana-mana pihak yang tersalah faham akan niat gimik persembahan itu.

“Saya ambil tanggungjawab penuh atas penganjuran program ini,” katanya dalam video TikTok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.