
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, peranan anak muda amat penting dalam menegakkan integriti dan memastikan kepimpinan negara bebas daripada penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.
Beliau menegaskan, perjuangan menentang rasuah bukan sekadar soal undang-undang, tetapi soal moral dan tanggungjawab generasi ini terhadap masa depan bangsa.
“Kalau anak muda berani berkata tidak kepada rasuah, negara ini akan selamat,” kata beliau ketika berucap di International Young Future Leaders Summit 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Anwar berkata, dengan sokongan rakyat dan keberanian generasi muda menolak rasuah, kerajaan dapat melaksanakan dasar fiskal yang lebih berkesan tanpa perlu menaikkan cukai atau menambah beban kepada rakyat.
“Kalau kita dapat kutip semula wang haram, harta diseleweng dan keuntungan luar biasa golongan tertentu, kita boleh guna untuk bantu rakyat bukan tambah cukai,” katanya.
Beliau berkata, sejak dua tahun lalu kerajaan berjaya memulihkan RM15.5 bilion hasil rampasan daripada aktiviti rasuah, penyeludupan dan kartel serta hasil daripada penguatkuasaan yang lebih tegas dan penambahbaikan tata kelola awam.
“Saya selalu tekankan kepimpinan mesti bersih dan tegas. Hentikan semua unsur rasuah dan penyelewengan. Negara ini boleh makmur jika kita ada integriti,” katanya.
Tambah Anwar, kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM1 bilion setahun selepas menarik semula subsidi kepada golongan kaya dan kartel dalam industri makanan, termasuk sektor ayam.
“Dulu harga ayam dikawal kartel. Kita hentikan sokongan itu dan mula import ayam murah dari Thailand. Harga tetap rendah dan kerajaan jimat RM1 bilion setahun,” katanya.
Langkah sama, jelasnya, turut digunakan dalam pelarasan tarif elektrik dan penstrukturan subsidi petroleum RON95 yang menjimatkan sehingga RM2.5 bilion setahun tanpa menjejaskan 85% rakyat.
“Kita tidak perlu tambah cukai kalau kita berani lawan rasuah dan monopoli. Itu cara sebenar tadbir urus yang baik,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan kepentingan melahirkan graduan berkemahiran tinggi bagi mengelak ketidaksepadanan pekerjaan, dengan tumpuan kepada bidang kejuruteraan, undang-undang, akauntansi, bahasa dan kecerdasan buatan.
“Negara kekurangan 30,000 jurutera. Kita perlu pastikan universiti melahirkan pelajar dengan kemahiran yang sesuai dengan keperluan industri. Latihan semula dan tingkatkan kemahiran akan terus jadi keutamaan dalam Belanjawan 2026,” katanya.