Deepavali: 9 barang dikawal harga mulai Khamis

Deepavali: 9 barang dikawal harga mulai Khamis

KPDN akan kuat kuasa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2025 sepanjang tempoh tujuh hari sehingga 22 Okt.

onions
SHMMP bertujuan memastikan kestabilan harga barangan keperluan pengguna sepanjang musim perayaan. (Gambar Envato Elements)
KOTA KINABALU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 bermula Khamis, melibatkan sembilan jenis barangan harga terkawal sepanjang tempoh tujuh hari sehingga 22 Okt.

Menteri Armizan Ali berkata skim itu bertujuan memastikan kestabilan harga barangan keperluan pengguna sepanjang musim perayaan serta mengelakkan sebarang kenaikan harga tidak munasabah oleh peniaga.

Barang berkenaan daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India jenis ROS, bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji (peringkat borong) dan kelapa parut (peringkat runcit).

“Tahun ini, kita menambah satu lagi barangan iaitu bawang merah kecil India, menjadikan keseluruhan sembilan jenis barangan tersenarai di bawah SHMMP Deepavali 2025,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Armizan berkata semua barangan terbabit akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna membuat semakan.

Maklumat lengkap turut dipaparkan menerusi laman web rasmi KPDN, www.kpdn.gov.my.

Armizan berkata skim itu turut mengambil kira libat urus bersama pemain industri bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan operasi perniagaan.

“Kita mahu jaminan bahawa pengguna dapat menikmati harga terkawal yang ditetapkan kerajaan. Jika peniaga boleh menjual lebih rendah daripada harga maksimum, itu lebih baik, namun mereka tidak dibenarkan melebihi harga siling yang ditetapkan,” katanya.

KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.