Anwar beri jaminan akan lindungi pihak tegas banteras rasuah

Anwar beri jaminan akan lindungi pihak tegas banteras rasuah

Perdana menteri berkata tindakan berani dan segera perlu diambil bagi memastikan negara bebas rasuah serta salah guna kuasa yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan melindungi semua pihak tegas melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah dan menyelamatkan negara daripada ketirisan hasil, selaras komitmen pentadbiran untuk memperkukuh tadbir urus serta integriti nasional.

Beliau berkata, tindakan berani dan segera perlu diambil bagi memastikan negara bebas rasuah serta salah guna kuasa yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kena cari jalan tegas, keras, segera dan saya akan pertahankan mereka dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara.

“Saya sendiri mesti beritahu sokongan penuh saya dengan tindakan mereka dan kita hargai tindakan ini…tapi penguatkuasaan (saja) tidak cukup…tindakan tegas, tetapi masih ada (rasuah dan ketirisan),” katanya pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Anwar turut mengingatkan penjawat awam tidak bergantung sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan pentadbiran bersih serta berintegriti, sebaliknya mereka perlu memikul tanggungjawab itu bersama.

Menurutnya, penekanan terhadap aspek penguatkuasaan sejak dua tahun lalu membolehkan kerajaan menyelamatkan RM15.5 bilion yang mengalir keluar dari negara akibat ketirisan, rasuah dan penyeludupan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua agensi penguatkuasaan, termasuk SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan polis atas kejayaan itu yang membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan hasil negara dilindungi.

“Sebab itu, pada 2023 saya tekan, saya panggil badan-badan penguatkuasaan tapi tidak begitu berhasil…pada 2024, nampak ada kencang sedikit (hasil tindakan) badan penguatkuasaan…pada 2025, bayangkan (dalam tempoh) dua tahun kita dapat selamatkan RM15.5 bilion daripada penyeludupan, ketirisan dan rasuah.”

Katanya, perjuangan membanteras rasuah bukan tugas mudah kerana berisiko dan sering mendapat tentangan, namun kerajaan tidak akan berundur daripada usaha membina pentadbiran bersih serta berakauntabiliti.

Anwar berkata, usaha memperkukuh tadbir urus perlu bermula dengan pembetulan terhadap kesilapan dalam sistem pentadbiran terdahulu yang menjadi punca ketirisan hasil negara.

Beliau berkata, pihak yang hidup mewah hasil subsidi tidak akan bersetuju dengan langkah pembetulan kerajaan, namun perubahan mesti dilakukan bagi menamatkan sistem lama yang tidak berkesan, walaupun pentadbiran silih berganti.

“Kita ada setahun lagi…dua tahun lagi…lima tahun lagi…berkhidmatlah dengan sebaiknya.

“Bayangkan, dua tahun kita selamatkan RM15 bilion…kalau RM100 bilion dalam 10 tahun, kita dapat bina universiti, klinik desa, sekolah dan kemudahan OKU (orang kurang upaya).

“Saya bukan nak menafikan semua jasa dan khidmat (pemimpin) terdahulu…tapi saya nak tekankan, ini kenyataan,” katanya sambil menambah kejayaan membanteras rasuah juga dapat meningkatkan martabat Malaysia sebagai negara kuat dan disegani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.