
Majlis pelancaran yang berlangsung di ibu negara itu merupakan hasil kerjasama kerajaan negeri dan RG Food Industries Sdn Bhd (RGFI) bagi mempromosi Kurma Daging Perlis serta Kurma Ayam Perlis, yang menjadi lambang keaslian dan keunggulan cita rasa warisan kulinari negeri di utara Semenanjung Malaysia itu.
Dua hidangan utama istimewa itu menjadi lambang keaslian serta keunggulan cita rasa warisan kulinari Perlis.
Inisiatif Produk Masakan Tradisional Kurma Perlis ialah cetusan idea Tuanku Syed Faizuddin bagi memperkenal dan memperkukuh promosi masakan asli serta produk negeri itu melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah untuk terus dikenali di peringkat nasional serta antarabangsa.
YTSP berkata, dua hidangan itu bukan sekadar juadah, tetapi manifestasi seni masakan tradisional Perlis yang diwarisi turun-temurun.
“Dirumus daripada adunan rempah asli dan diolah semula dengan sentuhan inovasi moden, resipi ini dihasilkan bagi menepati cita rasa pengguna masa kini tanpa menjejaskan keaslian dan keharuman rempahnya yang unik,” katanya dalam kenyataan.
Selain dua hidangan utama itu, RGFI turut menampilkan beberapa produk lain hasil penyelidikan dan pembangunan berterusan, antaranya gulai daging rebung utara, pekasam Timah Tasoh Perlis dan belacan madu Kuala Perlis.
“Sebagai peneraju dalam penghasilan produk makanan ready to cook dan ready to eat, RGFI menggunakan teknologi Thermal Decontamination System yang memastikan setiap produk mengekalkan rasa asli, kesegaran dan kualiti premium seperti masakan tradisional sebenar.
“nisiatif ini bukan saja memperkasa warisan gastronomi Perlis, malah menjadi platform strategik dalam memperluas promosi budaya, identiti dan keistimewaan negeri itu ke persada lebih luas.”