
Dewan Perniagaan Tionghua Papar berkata, ahli perniagaan tempatan Chee Chi Vun aktif dalam aktiviti perniagaan dan kerja kebajikan di kawasan Api-Api sejak berdekad lamanya.
Presidennya, Cheoh High Weal, berkata Chee mempunyai sokongan kuat akar umbi, khasnya dalam kalangan masyarakat Cina tempatan.
“Chee membuktikan komitmennya kepada masyarakat dan menyumbang secara signifikan dalam sektor perniagaan, pendidikan, keagamaan serta sukan. Kami menyokong penuh hasratnya bertanding di Api-Api,” katanya menurut Daily Express.
Chee berterima kasih kepada dewan perniagaan itu atas sokongannya dan berikrar akan mendapatkan kepercayaan pengundi Api-Api.
Katanya, PKR mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan Sabah sebagai komponen utama kerajaan persekutuan.
“Melalui platform ini, saya berhasrat untuk terus berkhidmat dan memartabatkan masyarakat setempat.”
Chee sebelum ini mendapat sokongan Persatuan Jurugambar Profesional Sabah dan Persatuan Judo Sabah.
Adun Api-Api yang juga bekas timbalan ketua menteri Sabah, Christina Liew gagal mempertahankan jawatannya sebagai ketua PKR Kota Kinabalu dalam pemilihan cabang April lalu.
Ketika ini, Ketua PKR Kota Kinabalu ialah Lee Li Mei.
Semalam, Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail, menolak laporan majoriti ketua cabang Sabah tidak berpuas hati dengan calon payung terjun dipilih pucuk pimpinan.
Katanya, senarai calon belum dimuktamadkan dan rundingan pembahagian kerusi di fasa akhir.