
Beliau berkata, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Mesir dan Jordan sekali gus memudahkan urusan penghantaran bantuan melalui lintasan sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir serta lintasan Jambatan Raja Hussein yang menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan.
“Bagi NGO atau individu yang mempunyai semangat tinggi untuk membantu rakyat Gaza yang tertindas, saya ucapkan terima kasih. Namun, jika nak hantar bantuan, elok kita buat gabungan dan bukan ‘bersepah-sepah’ atau secara individu.
“Pastikan mereka (NGO) memberitahu Wisma Putra (Kementerian Luar) dan kemudian kita boleh maklumkan pada Mesir dan Jordan bahawa ada NGO atau operasi penghantaran bekalan makanan dan sebagainya ke Gaza. Ini akan memudahkan urusan bantuan,” katanya menurut Bernama.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan pelajaran dan Deepavali kepada lebih 1,000 penerima di Rembau.
Ahli Parlimen Rembau berkata terdapat beberapa NGO Malaysia telah lama beroperasi di rantau ini termasuk Sumud Nusantara yang mempunyai gudang simpanan bantuan di Mesir dan aktif menyalurkan makanan ke Gaza sebelum penutupan lintasan sempadan Rafah.
Mengenai pelan damai Gaza, Mohamad berkata Malaysia menyambut baik keputusan Hamas yang bersetuju dengan cadangan itu sambil menyifatkan ia ‘tingkap kecil’ bagi penyaluran bantuan kemanusiaan meskipun 20 perkara dibentangkan lebih berpihak kepada Israel.
“Jika Hamas tidak terima cadangan itu, saya nampak tidak ada peluang lagi untuk rakyat Gaza mendapat bantuan antarabangsa, mereka akan diganyang berterusan dan besar kemungkinan akan dihalau keluar dari Gaza,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia akan terus mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera mengadakan sidang tergempar bagi memastikan penubuhan Palestin yang merdeka dilaksanakan berdasarkan resolusi yang disahkan secara rasmi oleh Majlis Keselamatan PBB.
Media sebelum ini melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengumumkan Israel dan kumpulan Palestin Hamas mempersetujui fasa pertama pelan damai Gaza diusulkan oleh AS.
Mengenai kehadiran ketua negara ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 akan diadakan bulan ini, Mohamad berkata keputusan dibuat secara konsensus oleh semua negara.
Beliau menegaskan Malaysia sebagai pengerusi Asean tidak boleh membuat keputusan bersendirian sama ada menjemput atau menolak kehadiran mana-mana pemimpin.
“Yang menjadi perbualan utama sekarang adalah kehadiran Trump…jadi saya minta supaya rakyat faham, (dengan kehadiran Trump) kita akan banyak dapat ruang untuk berbicara secara terus dan (bincang) banyak perkara yang boleh mendatangkan faedah kepada Malaysia.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan tekanan masyarakat antarabangsa terhadap Israel diteruskan dan usaha menubuhkan negara Palestin yang berdaulat dapat direalisasikan segera,” katanya.
Sidang Kemuncak Asean ke-47 dijadualkan pada hujung bulan ini di Kuala Lumpur.