
Perdana menteri berkata, pencapaian itu membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan tiada pihak, termasuk individu berpangkat tinggi, terlepas daripada tindakan undang-undang jika terbabit kegiatan merugikan negara.
“Kita berjaya merampas wang dicuri dan diseludup melalui kegiatan jenayah berjumlah RM15.5 bilion, ini baru dua tahun. Itu pun kerana saya tegas dan menegaskan kepada semua agensi penguat kuasa, tiada kompromi terhadap rasuah, penyeludupan, sindiket dan kartel. Hapuskan mereka kerana mereka mencuri daripada rakyat.
“Dalam beberapa tahun yang saya ada ini, saya mahu, insya Allah, membersihkan kekusutan yang berlaku. Apa pun orang kata tidak menggugat saya, saya anggap itu tanggungjawab kita,” katanya pada program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Canselori universiti itu di Seri Iskandar, di sini.
Anwar turut menyampaikan syarahan awam bertajuk “Universiti Sebagai Aset Strategik: Merencana Masa Depan Malaysia melalui Bakat, Teknologi dan Transformasi” pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk sindiket dan kartel yang menyelewengkan hasil negara, sambil menegaskan prinsip keadilan serta integriti mesti ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau gelaran individu terbabit.
“Kadangkala mereka bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri atau Tun, saya tidak peduli. Kamu boleh ada gelaran, tetapi jika mencuri, kita akan tangkap, dibicarakan di mahkamah dan jika didapati bersalah, kamu akan ke penjara.
“Itulah prinsipnya dan golongan muda mesti memahami serta menyokong perjuangan ini. Bolehkah saya percayakan kamu untuk mendukungnya?” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin, termasuk pelajar.
Menurutnya, usaha memerangi rasuah dan memperkukuh tadbir urus berintegriti sebahagian misi besar kerajaan bagi menjamin masa depan negara serta generasi muda memandangkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus maju.
Beliau turut menyeru pelajar dan belia mendukung perjuangan menegakkan keadilan serta menolak sebarang bentuk penindasan kaum, selain membina jati diri berasaskan nilai kemanusiaan, etika tinggi, ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu.
Katanya, pembangunan ilmu dan teknologi perlu digerakkan seiring pembentukan sahsiah, akhlak dan nilai kemanusiaan, selaras konsep Malaysia Madani yang menekankan prinsip keadilan, nilai murni serta kesejahteraan sejagat.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa meninjau Jabatan Kejuruteraan Bersepadu UTP yang menawarkan program ijazah sarjana muda kejuruteraan bersepadu dengan kepujian.
Semalam, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Anwar berkata, keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.
Menurutnya, penjimatan itu membolehkan lebih banyak dana disalurkan bagi kebajikan rakyat, perbelanjaan kos sara hidup serta pelaburan dalam prasarana berkualiti untuk kesejahteraan masyarakat.