
Tetapi, selepas hampir sedekad sejak kerja bermula pada 2015, bayang keberhasilan penuh projek itu masih belum kelihatan.
Walaupun 90% telah siap namun kelewatan di satu segmen kecil — hanya sekitar 150 meter di Seksyen 3, Kampung Jawa, Klang — kini menjadi kebimbangan projek infrastruktur besar di Malaysia sering terkandas oleh isu setempat berlarutan.
Dilaporkan 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang enggan mengosongkan kediaman dan difahamkan sebanyak 75% pampasan telah dibayar.
Hak milik turut dipindahkan secara sah kepada kerajaan persekutuan melalui Borang K di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 apabila proses undang-undang selesai sejak 2023 lalu.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah mengakui kerajaan negeri bimbang jika masalah ini dibiarkan, bukan sahaja perjalanan fizikal akan tersekat, tetapi momentum pembangunan kawasan pesisir turut terencat.
“Kerajaan Selangor sedar potensi besar WCE dan bagaimana ia boleh memudahkan perjalanan rakyat. Bukan sekadar ke Taiping, malah ada rancangan sambungan ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, beliau telah diberi mandat menjadi orang tengah antara penduduk dan pemaju WCE Holdings Bhd bagi menyelesaikan pertikaian yang menjejaskan kemajuan jajaran Kampung Jawa itu.
“Sepatutnya sudah ada perbincangan (9 Okt) tetapi ditangguhkan kerana peguam penduduk mempunyai prosiding lain.
“Kami mahu selesaikan secara baik supaya projek ini boleh diteruskan,” jelasnya sambil menambah pemaju WCE juga menunjukkan kerjasama positif.
Namun, di sebalik usaha diplomasi itu persoalan lebih besar membayangi apakah WCE masih boleh menepati potensinya sebagai pemangkin pembangunan di sepanjang laluan membabitkan 233 kilometer (km).
Mengupas persoalan itu, perancang bandar bertauliah Abdul Razak Abdul Rahman memberitahu jawapannya bergantung kepada kemampuan semua pihak mengimbangi kepentingan penduduk tempatan dengan keperluan ekonomi makro.

“Apabila siap, WCE boleh mencetuskan lonjakan nilai hartanah dan pelaburan industri setempat. Kawasan yang sebelum ini dilihat jauh dari bandar utama akan jadi kompetitif kerana kos tanah dan operasi lebih rendah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, lebuh raya itu berpotensi mewujudkan koridor pembangunan baharu – bandar satelit, kawasan industri dan pusat logistik – sekali gus menjadi ‘game changer’ kepada landskap ekonomi wilayah barat Semenanjung.
“Pelabur dalam sektor industri, gudang dan pusat pengagihan akan memilih lokasi di sepanjang jajaran lebuh raya. Ini bukan sekadar soal mobiliti tapi juga perubahan struktur guna tanah dan pekerjaan,” katanya.
Namun Razak turut memberi amaran setiap lebuh raya hanya akan berfungsi sebagai ‘tulang belakang pembangunan’ jika disertai dengan pelan ruang dan komuniti inklusif.
“WCE tidak boleh dilihat semata-mata sebagai jalan cepat dari Banting ke Taiping. Ia perlu jadi pemangkin kepada ekosistem baharu — tempat kerja, kediaman dan jaringan sosial berkembang secara seimbang,” katanya.
Beliau menambah, bagi penduduk Kampung Jawa dan sekitarnya, siapnya Seksyen 3 bukan sekadar soal memendekkan masa perjalanan, tetapi juga soal peluang baharu dalam ekonomi harian.
“Akses ke pusat pekerjaan, pendidikan dan perubatan akan jauh lebih mudah. Pertumbuhan mikro seperti kedai runcit, bengkel dan perniagaan kecil akan berkembang bersama arus pembangunan ini,” katanya.
Selain itu, WCE juga diharap mampu mengurangkan tekanan trafik pada lebuh raya utama sedia ada seperti PLUS dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas)
“Pilihan laluan alternatif ini boleh menjimatkan masa dan mengurangkan kesesakan di kawasan bandar utama,” katanya.
Projek WCE yang menghubungkan Banting, Selangor hingga Taiping, Perak, merentasi 11 seksyen pembinaan. Jajaran di Selangor melibatkan 93.8 kilometer merentasi tujuh seksyen, manakala di Perak sepanjang 99.2 kilometer dibahagikan kepada empat seksyen.
Mengikut perancangan awal projek itu sepatutnya siap pada penghujung 2026, namun isu tercetus kini mungkin menyebabkan pembangunannya terencat.