
Miti menyifatkan peruntukan ini selari dengan usaha kerajaan Madani untuk menaikkan siling ekonomi negara melalui penggalakan pelaburan berkualiti dan peningkatan eksport, berlandaskan kerangka Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Ekonomi Madani.
Susulan itu, Miti berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada beberapa teras utama, antaranya memudahkan urusan pelabur menerusi Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan yang akan dilaksanakan sepenuhnya mulai suku pertama 2026.
Inisiatif ini akan diimbangi dengan kemudahan seperti ‘Investor Pass’ dengan Visa Kemasukan Berbilang sehingga 12 bulan dan penerusan inisiatif ‘Residence Pass – Talent Fast Track’ untuk menarik bakat strategik global.
Menurut Miti, usaha ini telahpun menunjukkan hasil apabila Malaysia berjaya melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam World Competitiveness Ranking 2025.
Miti turut mengalu-alukan peningkatan 100% peruntukan Geran Pembangunan Pasaran di bawah Matrade kepada RM60 juta, bertujuan membantu PKS menembusi pasaran baharu seperti Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah, selain menampung kos logistik penghantaran produk.
Belanjawan 2026 turut menyuntik dana signifikan ke dalam sektor-sektor strategik negara, dengan tumpuan khusus untuk melonjakkan Malaysia sebagai kuasa besar dalam industri semikonduktor global.
Melalui pelaburan berjumlah RM550 juta oleh Khazanah Nasional Berhad dan KWAP, serta peruntukan tambahan RM500 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad, kerajaan menyasarkan untuk mempergiat aktiviti nilai tambah tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan oleh syarikat tempatan.
Industri automotif turut diberi nafas baharu melalui geran padanan sehingga RM4,000 untuk menggalakkan pelupusan kenderaan berusia lebih 20 tahun bagi pembelian kereta nasional baharu, termasuk kenderaan elektrik (EV).
Menurut Miti, langkah ini diharap dapat menyumbang kepada Sasaran Sifar Bersih nasional dan peningkatan mobiliti hijau selaras dengan Dasar Automotif Nasional dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Selaras dengan agenda kelestarian global, Belanjawan 2026 turut memacu peralihan kepada teknologi hijau. Antara langkah yang diumumkan termasuk pelaburan bernilai RM16.5 bilion oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi pembangunan ladang solar dan kemudahan pengecasan EV.
“Pelaburan bernilai RM16.5 bilion yang akan digerakkan oleh GLIC dan GLC amat dialu-alukan, termasuk bagi pembangunan ladang solar, serta peluasan kemudahan pengecasan EV yang tentu sekali akan menyumbang kepada pembangunan sektor mobiliti hijau di Malaysia,” menurut Miti dalam kenyataan.
Kementerian itu berkata, langkah memperkasakan sektor-sektor bernilai tinggi dan berpertumbuhan tinggi dijangka akan mengukuhkan keseluruhan ekosistem industri sasaran di bawah NIMP 2030 dan dasar-dasar Miti yang lain.
“Ini juga akan memastikan limpahan ekonomi dinikmati oleh PKS dan rakyat bagi membina landskap ekonomi manusiawi (menaikkan lantai ekonomi) yang disasarkan oleh Kerangka Ekonomi Madani, NIMP 2030 dan juga Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13),” katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz turut berkata, peruntukan ini mencerminkan peranan penting Miti dalam memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia di tengah-tengah cabaran geopolitik global.
“Miti beriltizam untuk memastikan Malaysia terus berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033,” katanya.