Masa depan lebih cerah jika Sabah, Sarawak kuasai satu pertiga kerusi Parlimen

Masa depan lebih cerah jika Sabah, Sarawak kuasai satu pertiga kerusi Parlimen

Adun kanan GPS Wong Soon Koh berkata terdapat budaya ekstremisme yang 'menular dengan pantas' di negara ini, bercanggah dengan nilai progresif asas pembinaan negara.

wong soon koh
Naib Presiden kanan PDP Wong Soon Koh berkata Sarawak sentiasa menunjukkan contoh dalam keterbukaan dan kehidupan bersama secara aman antara orang Islam dan bukan Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia akan mempunyai masa depan yang lebih cerah dan progresif sekiranya Sabah dan Sarawak diberikan satu pertiga kerusi Parlimen, kata Adun kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Adun Bawang Assan selama tujuh penggal, Wong Soon Koh, berkata Sarawak sentiasa menjadi contoh dalam keterbukaan serta kehidupan aman antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata terdapat budaya ekstremisme yang kini ‘menular dengan pantas’ di negara ini, yang bercanggah dengan nilai progresif yang menjadi asas pembinaan negara.

“Tetapi menjadi contoh yang baik sahaja tidak mencukupi — kita perlu kekuatan sebenar untuk mempertahankan cara hidup ini. Atas sebab itulah Sarawak dan Sabah perlu memegang dua pertiga kerusi Parlimen berasaskan prinsip rakan setara dan perwakilan setara.

“Ini bukan sekadar berkaitan kepentingan wilayah, sebaliknya ia merupakan satu-satunya cara untuk mempertahankan kepelbagaian Malaysia serta menjamin masa depan yang lebih baik dan progresif,” katanya dalam kenyataan.

“Hanya apabila Sarawak dan Sabah memegang dua pertiga kerusi di Parlimen, berasaskan prinsip rakan setara dan perwakilan setara, barulah Malaysia dapat benar-benar bergerak ke arah masa depan yang progresif dan cerah.”

Wong, yang juga naib presiden kanan Parti Demokratik Progresif (PDP), turut tampil mempertahankan presiden partinya, Tiong King Sing, susulan kontroversi berkaitan penyajian minuman beralkohol pada majlis makan malam gala yang diadakan sempena Global Travel Meet anjuran Tourism Malaysia.

Menteri pelancongan, seni dan budaya itu menegaskan bahawa majlis tersebut bukan dianjurkan oleh kementeriannya dan kesilapannya hanyalah tidak mengumumkan pertukaran penganjur bagi acara itu.

Tiong turut mengekalkan pendirian bahawa kementeriannya tidak pernah melanggar sebarang peraturan kerajaan dalam penganjuran program berkaitan pelancongan.

Isu berkenaan telah mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Umno, Amanah dan PAS, dengan Tiong berdepan desakan supaya meletakkan jawatan sebagai menteri pelancongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.