
Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway menyifatkan belanjawan itu “berhemat dan bertanggungjawab” kerana perbelanjaan dikurangkan buat julung kali dalam beberapa tahun.
Semalam, kerajaan persekutuan membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM419.2 bilion, penurunan RM2 bilion daripada RM421 bilion yang diperuntukkan untuk 2025.
Yeah berkata, inisiatif yang dicadangkan dalam belanjawan itu “lebih disasarkan” yang memfokuskan sokongan sosial dan langkah menangani kos sara hidup, termasuk bantuan tunai untuk kumpulan rentan.

“Rakyat ialah penerima utama daripada bantuan kebajikan kepada peruntukan hospital,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, pengurangan defisit fiskal daripada 3.8% tahun ini kepada 3.5% pada 2026 mencerminkan komitmen kukuh kerajaan terhadap disiplin kewangan.
“Kerajaan nampaknya telah mencapai keseimbangan tepat dengan mengekalkan ekonomi pada laluan pertumbuhan stabil antara 4% hingga 4.5%.”
Katanya, Tahun Melawat Malaysia 2026 mampu merangsang ekonomi domestik melalui sektor pelancongan, tetapi beliau memberi amaran halangan global, termasuk perdagangan lebih perlahan dan tarif lebih tinggi Amerika Syarikat masih membawa risiko kepada pemulihan ekonomi.
“Kita sedang bersiap sedia menghadapi 2026 yang bergelora, tetapi kerajaan kekal fokus pada kehematan fiskal, pengurangan defisit dan sokongan terhadap enjin pertumbuhan domestik yang menjadi teras utama.”
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito, menyambut baik langkah mengurangkan defisit fiskal yang disifatkannya “langkah bertanggungjawab” ke arah penyatuan fiskal.

“Walaupun defisit boleh mengganggu penyelarasan pasaran, laluan ke arah kawalan fiskal lebih baik daripada perbelanjaan awam yang tidak dikawal.”
Katanya, rancangan menggerakkan kira-kira RM10 bilion melalui perkongsian awam-swasta dan pelaburan bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) boleh memberi peranan lebih besar kepada pasaran, selagi kerajaan tidak memilih “pemenang” secara langsung.
“Dasar pelaburan perlu ditentukan oleh penyertaan sektor swasta, bukan arahan kerajaan.”
Kurang daripada jangkaan
Tetapi, ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Barjoyai Bardai, menjangkakan jumlah belanjawan lebih besar sekitar RM430 bilion, bukannya RM419 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau berkata, pengurangan peruntukan akan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negara.
“Tujuannya untuk kerajaan mencapai sasaran defisit belanjawan sebanyak 3.6%. Tetapi, ekonomi negara kini dalam fasa pertumbuhan pesat dan menuju kemuncaknya menjelang tahun depan. Kita perlu dorongan tambahan, malangnya belanjawan ini sedikit kurang daripada yang diperlukan.”
Pun begitu, beliau mengalu-alukan insentif pertanian lebih tinggi dan usaha memperkukuh keselamatan makanan serta kebajikan luar bandar, dengan setiap pesawah dijangka menerima bantuan kira-kira RM4,300 sehektar berbanding RM3,790 sehektar bagi setiap musim penanaman.