
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu membabitkan peruntukan RM120 juta yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.
“Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa memperolehi ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama di IPTA daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah.
“Ini memanfaatkan sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Menurutnya, sekatan perjalanan ke luar negara akan dikenakan kepada peminjam mampu bayar dan bekerja di luar negara, tetapi culas membayar balik pinjaman PTPTN.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju menambah 1,500 unjuran tempat bagi ijazah sarjana muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan, antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) serta bahasa.
“Ini untuk beri ruang lebih ramai anak muda cemerlang, termasuk lulusan STPM melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan.”