Sultan Ibrahim dipersembahkan cadangan Belanjawan 2026

Sultan Ibrahim dipersembahkan cadangan Belanjawan 2026

Dokumen itu dipersembahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Perdana Menteri Anwar Ibrahim
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima persembahan cadangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima persembahan cadangan Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dokumen itu dipersembahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, di sini.

Anwar yang juga menteri kewangan ketika memberikan taklimat berkaitan Belanjawan 2026 kepada editor media di Putrajaya semalam, berkata Belanjawan Kerajaan Madani Keempat itu akan menumpukan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman Parlimen, Perdana Menteri dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang esok.

Rang undang-undang itu akan dibahaskan Ahli-ahli Parlimen selama lapan hari di Peringkat Dasar sebelum sesi penggulungan oleh kementerian pada 29 Okt hingga 4 Nov, diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 Nov untuk kelulusan Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.