
Tukiran Sharji, 61, berkata sambutan luar biasa itu selepas dia dipilih menyertai Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) pada Januari lalu, yang menyediakan dana dan sokongan untuk membina semula infrastruktur pembenihan serta memperluaskan pasaran.
“Sebelum ini, saya cuma mampu jual dalam skala kecil. Selepas dapat bantuan, permintaan datang mencurah-curah dengan pembeli dari Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu dan juga Sabah.
“Malah untuk fasa kedua, saya sedang menyediakan hampir 1,600 tempahan benih dijangka mula dibekalkan pada awal November ini,” katanya ketika ditemui FMT.

Kelapa SGG CN16 adalah baka pembiakan silang daripada jenis renek yang mula dibiakkan di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang. Ia kini menjadi pilihan utama pekebun di seluruh negara kerana cirinya unik iaitu batang rendah, isi tebal dan air yang manis.
Tukiran berkata, kerja menjaga benih bukan semudah disangka kerana setiap anak pokok mengambil masa empat bulan untuk matang sebelum boleh dijual.
“Prosesnya memerlukan siraman dua kali sehari, pembajaan berkala serta kawalan daripada serangan tupai dan tikus,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Komuniti Madani, Mohd Zamri Kahar, berkata sokongan melalui geran RM100,000 bawah projek SejaTi Madani membolehkan komuniti membina pagar, stor, membeli baja dan menyiapkan papan tanda promosi.
Beliau berkata, hasilnya produk kampung tersebut kini menembusi pasaran tempatan dengan keuntungan kira-kira RM25,000 bagi fasa pertama yang bermula Januari lalu dengan pembeli bukan sahaja daripada pekebun kecil malah syarikat besar termasuk Felcra.

“Program SejaTi Madani bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, malah menjadi wadah untuk menggerakkan aktiviti masyarakat.
“Melalui projek kelapa SGG CN16, kami turut bekerjasama dengan golongan belia dalam pengeluaran dan pengusaha kelapa muda sekali gus memupuk semangat perpaduan melalui pertemuan dan mesyuarat berkala,” katanya.

Zamri berkata, pihaknya juga berhasrat mempelbagaikan industri hiliran hasil geran SejaTi Madani disalurkan kerajaan, antaranya menghasilkan produk berasaskan sabut dan daun kelapa.
Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan SejaTi Madani bertujuan memperkasa komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi dan akan melibatkan semua kampung di seluruh negara tanpa pengecualian.
Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kerajaan bagi melaksanakan inisiatif itu ketika pengumuman Belanjawan 2025.