
Menurutnya, keputusan itu diambil selepas pemaju mengemukakan permohonan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengambil alih tanah berkenaan, termasuk unit flat dan rumah teres.
“Pemaju telah menghantar permohonan kepada kementerian untuk mengambil tanah itu termasuk unit flat dan lot teres.
“Permohonan itu kemudiannya dipertimbangkan dalam mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Wilayah Persekutuan pada 9 September 2020 dipengerusikan menteri ketika itu, Annuar Musa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan khas berhubung isu itu di Dewan Rakyat hari ini.
Zaliha berkata syor itu kemudiannya dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah (JKT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke-749/2021 atau Land Exco pada 12 April 2021 yang dipengerusikan ketua setiausaha negara ketika itu, sebelum diluluskan.
“Pewartaan Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) dilaksanakan pada 18 dan 21 Jun 2021 — dalam tempoh tiga hari sahaja, iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Keputusan itu perlu ditanya kepada menteri ketika itu. Disebabkan tindakan tergesa-gesa, keseluruhan tanah itu kini menjadi hak milik pemaju,” jelasnya.
Tambah Zaliha, pada 2020 tiada dasar di peringkat Wilayah Persekutuan mengenai nilai ambang persetujuan bagi pengambilan tanah, menyebabkan Akta Pengambilan Tanah digunakan terhadap penduduk yang tidak bersetuju.
“Hanya pada 2021, Kementerian Wilayah Persekutuan menetapkan nilai ambang persetujuan sekurang-kurangnya 50%, sebagaimana dinyatakan dalam Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau turut menyebut kontroversi Kampung Sungai Baru memberi kesan kepada Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, yang mengambil alih portfolio menteri selepas Annuar dan mewarisi isu tersebut.
“Pada 2022, ketika Arau menjadi menteri, nilai ambang persetujuan untuk pembangunan di Kuala Lumpur dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 75%. Namun pengecualian diberikan kepada kawasan Kampung Baru, yang kekal dengan ambang persetujuan 50%,” katanya.
Zaliha menasihati penduduk yang tidak berpuas hati dengan nilai pampasan supaya menggunakan saluran undang-undang yang tersedia.
“Kita hormati apa sahaja keputusan mahkamah. Jika mahkamah memutuskan pemaju perlu menaikkan pampasan, maka pemaju wajib melaksanakannya.
“Namun, jika mahkamah mengekalkan nilai sedia ada, pemilik tanah juga perlu akur,” katanya.
Beliau menambah, proses perbicaraan tidak menghalang pembangunan semula Kampung Sungai Bar daripada diteruskan, sambil berharap caj penyelenggaraan selepas projek siap tidak akan membebankan penduduk yang akan kembali menetap di penempatan baharu itu.
Dalam pada itu, Zaliha menegaskan tiada sebarang rekod rasmi menunjukkan tanah di Kampung Sungai Baru berstatus Malay Agricultural Settlement (MAS) atau Tanah Rizab Melayu.
Jelasnya, perkara itu disahkan menerusi semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur yang turut mendapati kampung itu tidak mempunyai sebarang sekatan pemilikan manakala pegangan pajakan adalah selama 99 tahun.
“Tiada rekod rasmi menunjukkan tanah berkenaan adalah tanah MAS atau rizab Melayu, walaupun ia disebut Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga bekas pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) Ambrin Buang.
“Namun saya mohon maaf kerana tidak boleh mengulas panjang isu ini memandangkan ia masih dalam proses pengurusan kes di mahkamah,” katanya.