Kontroversi Fifa tak gugat Harimau Malaya, benam Laos 3-0

Kontroversi Fifa tak gugat Harimau Malaya, benam Laos 3-0

Skuad negara beraksi tanpa tujuh tonggak yang digantung 12 bulan oleh Fifa kerana kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen.

Arif Aiman Hanapi membuka malam gemilang Harimau Malaya dengan menjaringkan gol pertama pada minit ke-54. (Gambar Malaysia NT)
PETALING JAYA:
Kontroversi melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) tidak menjejaskan prestasi Harimau Malaya yang membenam Laos 3-0 dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.

Beraksi di Stadium Nasional, Vientiane, skuad kendalian Peter Cklamovski terpaksa melakukan rombakan besar susulan penggantungan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Imanol Machuca, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces dan Jon Irazabal.

Mereka digantung selama 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dokumen.

Buntu tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi membuka tirai jaringan Harimau Malaya pada minit ke-54.

Skuad negara terus menggandakan serangan dan berjaya menambah jaringan kedua menerusi kapten, Dion Cools, pada minit ke-68.

Faisal Halim kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya apabila menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan.

Kejayaan meraih tiga mata itu membolehkan Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Kedua pasukan akan berentap sekali lagi dalam aksi keempat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.