‘KDN dah lulus, biar mereka selesai’, kata Saifuddin berkait kemelut FAM-Fifa

‘KDN dah lulus, biar mereka selesai’, kata Saifuddin berkait kemelut FAM-Fifa

Menteri dalam negeri berkata isu yang timbul kini melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa.

harimau malaya lawan vietnam
Sebelum ini FAM memaklumkan ‘ralat pentadbiran’ menjadi punca pertikaian dengan Fifa berhubung status tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan agensi bawah seliaannya mematuhi undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam meluluskan permohonan kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata isu yang timbul kini melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan induk bola sepak dunia itu, dan perlu diselesaikan oleh mereka.

“Bagi syarat Fifa seseorang nak bermain dengan sebuah negara, pertama mereka kena lahir di negara tersebut, kedua ibu atau bapa pemain dilahir di negara tersebut.

“Ketiga, datuk dan nenek pemain dilahir di negara tersebut, maknanya lahir di Malaysia, keempat pemain hidup secara berterusan di Malaysia. Jadi, mana-mana syarat itu dipatuhi maka pemain itu layak mewakili negara yang berdaftar dengan Fifa.

“Jadi, isu itu urusan Fifa dengan FAM, biar mereka selesaikan,” katanya menerusi sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Saifuddin menjelaskan, syarat KDN dalam memberikan kewarganegaraan kepada pemain naturalisasi adalah tertakluk kepada Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang mana pemohon perlu memenuhi ‘tiga rukun’ termasuk bermastautin.

“Untuk buat keputusan, Perkara 19 di mana pemohon itu sendiri kena mohon, tak boleh melalui ejen, dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) tidak pernah guna khidmat ejen untuk mohon warganegara.

“Ada tiga rukun perlu dipatuhi dalam Perkara 19 di mana pertama pemohon kena bermastautin dalam satu tempoh, kedua kena berkelakuan baik, dan ketiga pemahaman bahasa Melayu yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 23 pemain bola sepak diluluskan termasuk tujuh terbaru daripada 49,000 individu yang memohon untuk menjadi warganegara Malaysia secara keseluruhan.

“Daripada 49,000 permohonan itu, 6,000 lagi belum dibuat keputusan,” katanya.

Saifuddin menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN–Kangar) yang meminta penjelasan mengenai statistik pemain dinaturalisasikan sejak 2018 hingga kini.

Katanya, selain Perkara 19, menteri dalam negeri juga mempunyai kuasa budi bicara menerusi Seksyen 20(1)(e) untuk memberikan kelulusan kewarganegaraan.

“Itu juga bukan hanya untuk pemain bola. Ada juga pemain lain termasuk gimnastik, menembak, jalan kaki. Selain Perkara 19, dalam perlembagaan ada satu Seksyen 20(1)(e) di mana menteri boleh guna kuasa budi bicaranya.

“Jadi, syarat kena bermastautin kalau pemohon berada di luar (negara) pun boleh dianggap bermastautin, begitu bahasa perundangannya. Soal bahasa Melayu ia mencukupi dan memadai kalau kita cakap dia faham,” katanya.

Sebelum ini, FAM memaklumkan ‘ralat pentadbiran’ menjadi punca pertikaian dengan Fifa berhubung status tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan.

Mereka adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Pada 26 Sept Jawatankuasa Tatatertib Fifa mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap seorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.