Kastam patahkan cubaan seludup ganja hampir RM100 juta

Kastam patahkan cubaan seludup ganja hampir RM100 juta

Lima lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

cannabis flower sarung tangan elok
Kes membabitkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja ke luar negara khususnya ke pasaran Eropah menggunakan pelbagai taktik termasuk penyamaran sebagai barangan dagangan. (Gambar Envato Elements)
PUTRAJAYA:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan empat cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja seberat lebih 1,000kg bernilai kira-kira RM98 juta dalam operasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, baru-baru ini.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad, berkata kejayaan itu hasil tindakan pantas Bahagian Penguatkuasaan JKDM dengan kerjasama beberapa agensi keselamatan lain termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Beliau berkata, lima lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Empat kes ini membabitkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja ke luar negara, khususnya ke pasaran Eropah menggunakan pelbagai taktik termasuk penyamaran sebagai barangan dagangan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kes pertama pada 1 Okt, seorang lelaki tempatan ditahan di KLIA Terminal 1 selepas disenarai hitam kerana tunggakan duti dan cukai yang membawa kepada pemeriksaan terhadap bagasi hingga menemukan 21.04 kg bunga ganja bernilai kira-kira RM2.06 juta.

“Suspek ini telah didakwa di mahkamah baru-baru ini,” katanya.

Zulkifli berkata, bagi kes kedua pada 27 Sept, rampasan dilakukan di pintu masuk eksport KLIA selepas pasukan penguat kuasa mengesan 21 bungkusan dadah seberat 220.32kg bernilai RM21.59 juta dalam sebuah lori kurier yang dalam perjalanan memasuki Zon Bebas KLIA untuk dieksport ke sebuah negara Eropah.

Dalam kes ketiga pada 29 dan 30 Sept, beliau berkata serbuan di dua gudang logistik di Shah Alam dan Subang Jaya berjaya menemukan 52 kotak bungkusan dadah daripada empat konsainan berbeza dengan berat keseluruhan 464.58kg dan nilai dianggarkan RM45.53 juta.

Zulkifli berkata, kes keempat pada 3 Okt pula menyaksikan rampasan 294.35kg bunga ganja bernilai RM28.85 juta di pintu masuk eksport Zon Bebas KLIA, juga menggunakan lori kurier bagi membawa keluar 28 bungkusan dagangan ke luar negara.

Menurutnya, bagi kes kedua hingga keempat, sindiket dipercayai menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan dadah dalam kotak berlabel jenama tuala premium yang dibungkus dengan plastik kedap udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Empat lelaki termasuk pemandu lori kurier serta pemilik gudang logistik ditahan bagi membantu siasatan dalam tiga kes berkenaan,” katanya.

Zulkifli berkata, JKDM akan terus memperkukuh kawalan di semua pintu masuk utama negara bagi membanteras cubaan penyeludupan menggunakan saluran logistik dan kurier antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.