Idam jadi PM cetus pertelingkahan dalam parti, kata Ku Li

Idam jadi PM cetus pertelingkahan dalam parti, kata Ku Li

Tokoh veteran Umno berkata ramai melihat diri sebagai calon perdana menteri namun kering idea atau perancangan konkrit.

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Tengku Razaleigh Hamzah berkata perbezaan pendapat akan tetap wujud walaupun tegaknya negara Islam. ‘Tanpa keseimbangan, tiada parti boleh berjaya’.
KUALA LUMPUR:
Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata ketidakstabilan dalam kalangan parti politik berpunca daripada pemimpin menganggap diri mereka layak menjadi perdana menteri, namun tidak mempunyai visi diperlukan untuk memimpin negara.

Dalam temu bual bersama FMT, beliau berkata ramai pemimpin mengidam jawatan tertinggi itu, tetapi kering idea konkrit atau rancangan boleh dilaksanakan bagi mentadbir Malaysia dengan berkesan.

“Mereka tidak tahupun apa yang mereka mahu buat, dan (mungkin) akan merosakkan keadaan. Ini bukan kerja jual kacang putih, tahu?” kata bekas menteri kewangan itu merujuk kerumitan dalam memimpin negara.

Penasihat Umno itu berkata, ketidakstabilan politik di negara ini bertambah buruk kerana pemimpin lebih tertumpu kepada cita-cita peribadi, berbanding tanggungjawab.

“Ideologi mereka sering didorong cita-cita peribadi atau pengikut yang ada kepentingan. Tetapi, kepimpinan tulen mesti merangkul semua orang, baik yang lemah mahupun yang kuat, Melayu mahupun bukan Melayu.”

Tengku Razaleigh berkata demikian mengulas mengenai pertelingkahan dalaman dalam Bersatu, menyaksikan Presiden Muhyiddin Yassin, berdepan desakan berundur dan Setiausaha Agung Azmin Ali pula diserang secara terbuka.

Perlu seimbang, ekstrem PAS atau DAP akan gagal

Tengku Razaleigh, yang terkenal dengan panggilan Ku Li, berkata seorang pemimpin yang baik mesti mampu mengamalkan keseimbangan dalam kepimpinan, terutama mentadbir negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Beliau memuji bapa pengasas Malaysia terdahulu kerana mengamalkan kesederhanaan, menjadi aspek utama perpaduan negara.

“Kita bernasib baik kerana ada pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, dan Tun VT Sambanthan (antara lain), yang merupakan individu tepat mengambil pendekatan yang betul.

“Mereka tidak membawa kita ke arah yang ekstrem. Pemimpin seperti itu diperlukan untuk mengingatkan kita ini adalah sebuah negara yang akan kita kongsi bersama.

“Apabila anda diletakkan dalam kedudukan diberi amanah, anda bukan hanya menjaga satu kelompok sahaja. Anda perlu menjaga seluruh negara. Itu memerlukan keadilan dan keseimbangan. Pandangan ekstrem perlu dikurangkan,” kata bekas Ahli Parlimen Gua Musang selama 11 penggal itu.

Tengku Razaleigh berkata, parti yang mengambil pendirian ekstrem tidak akan mampu mentadbir Malaysia.

“Walaupun tertegaknya sebuah negara Islam (seperti diidamkan PAS), masih akan wujud perbezaan pendapat. Tanpa keseimbangan, tiada parti boleh berjaya sama ada PAS, DAP, atau mana-mana pihak lain,” katanya.

Baru-baru ini, Tengku Razaleigh berkata beliau maklum kegelisahan dalam kalangan orang Melayu mengenai cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) diterajui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, daripada DAP.

Beliau berkata, inisiatif itu mengingatkan kepada usaha pembaharuan bandar di Singapura yang menyebabkan komuniti Melayu terpaksa berpindah dan membangkitkan kebimbangan kebangkitan semula konsep ‘Malaysian Malaysia’ DAP.

“Orang Melayu (bimbang mereka) akan dipecahkan, tidak mampu kembali, dan terpaksa membayar harga yang terlalu tinggi,” katanya sambil merujuk kebimbangan undang-undang dicadangkan itu akan ‘menjejaskan hak orang Melayu’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.