Calon BN Sabah ambil kira etnik, sub-etnik, kata Zahid

Calon BN Sabah ambil kira etnik, sub-etnik, kata Zahid

Pengerusi BN berkata senarai calon BN dalam semakan akhir dan bakal menampilkan ramai muka baharu serta tokoh muda.

Zahid Hamidi
Pengerusi BN Zahid Hamidi ditemui selepas merasmikan penutup Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di Shah Alam.
SHAH ALAM:
Barisan Nasional (BN) akan memastikan senarai calon yang diketengahkan pada PRN Sabah mencerminkan kepelbagaian etnik dan sub-etnik di negeri itu, kata Pengerusinya, Zahid Hamidi.

Beliau yang juga presiden Umno berkata penilaian calon bukan hanya berdasarkan kriteria boleh menang, malah turut mengambil kira kemampuan untuk mewakili komuniti tempatan secara inklusif.

“BN Sabah telah pun mengemukakan nama-nama calon kepada saya dan kita sedang meneliti dari segi kriteria boleh menang calon-calon yang dikemukakan.

“Kita juga mengambil kira kumpulan etnik dan sub-etnik yang akan diwakili oleh calon-calon BN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di Shah Alam.

Timbalan perdana menteri berkata, antara proses penelitian akhir termasuklah merangkumi konsep WALI iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disukai).

Mengulas lanjut, Zahid berkata pengumuman rasmi calon BN hanya akan dibuat pada hari penamaan calon, sebaik sahaja tarikh rasmi ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Setakat ini kita menunggu pengumuman SPR berkenaan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian. Kita bersedia pada bila-bila masa,” katanya.

Zahid juga memaklumkan ramai muka baharu termasuk tokoh muda bakal ditampilkan sebagai calon termasuk mengekalkan beberapa penyandang yang menunjukkan prestasi baik.

Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin berkata BN sedia bertanding lebih 40 kerusi pada PRN Sabah ke-17.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Okt ini bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan pelaksanaan PRN Sabah ke-17.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.