
Nazri Khan berkata, langkah itu sebagai ‘game changer’ yang bukan sahaja mampu menstabilkan kedudukan fiskal negara, malah memastikan bantuan kerajaan sampai terus kepada golongan benar-benar memerlukan.

Beliau berkata, BUDI95 membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan struktur subsidi yang lebih adil dan mampan, serta mencerminkan peralihan dasar daripada perbelanjaan pukal kepada pelaburan strategik berasaskan keperluan.
“Ini bukan sekadar penjimatan, tetapi satu pelaburan semula demi membina masa depan ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan, mengulas prospek dasar fiskal menjelang Belanjawan 2026.
Nazri berkata, pendekatan bersasar seperti BUDI95 dijangka terus menjadi komponen utama dalam Belanjawan 2026 yang dijangka mengekalkan keseimbangan antara keperluan fiskal dan tanggungjawab sosial.
“Disiplin fiskal akan terus diperkuat dan pendekatan khas untuk memastikan setiap ringgit subsidi disalurkan secara optimum,” kata ketua pegawai pelaburan Berjaya Mutual Sdn Bhd itu.
Katanya, BUDI95 juga dijangka menjadi indikator awal terhadap keberkesanan dasar fiskal kerajaan dalam menstruktur semula perbelanjaan awam.
“Penjimatan subsidi bahan api boleh disalurkan semula ke sektor bernilai tinggi seperti pendidikan teknikal, kesihatan dan infrastruktur digital.
“Dengan asas fiskal yang lebih kukuh, kerajaan mempunyai ruang untuk melaksanakan dasar pengembangan terpilih bukan hanya kawal defisit, tetapi juga menjana pulangan sosial dan ekonomi yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.
Nazri menegaskan penjimatan menerusi subsidi bersasar itu kritikal dalam mengurangkan defisit negara serta memperbaiki nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Ini akan meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa dan penarafan kredit negara – satu langkah penting untuk membina semula kepercayaan pasaran terhadap daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya.
Pada 23 Sept, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan program BUDI95 kepada rakyat yang layak akan memberikan penjimatan sehingga kira-kira RM200 sebulan.
Beliau berkata, penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk terus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan dilakukan menggunakan MyKad.
Warga asing dan pembeli lain yang tidak layak dikenakan caj RM2.60.