Video dakwa Semporna kotor; Shafie digesa lebih rajin turun padang

Video dakwa Semporna kotor; Shafie digesa lebih rajin turun padang

Menteri jelas wakil rakyat juga bertanggungjawab memantau dan memastikan kerja pembersihan di kawasannya.

asia dirtiest town
Tangkap layar video mengenai kekotoran suatu pekan digelar pekan paling kotor di Asia.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Semporne, Shafie Apdal, digesa rajin turun padang dan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, rentetan kontroversi mengenai tahap kebersihan di kawasannya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menjelaskan wakil rakyat juga bertanggungjawab memantau dan memastikan kerja-kerja pembersihan.

“Saya difahamkan Ahli Parlimen Semporna sudah berada di sana lebih 30 tahun, saya harap beliau akan lebih rajin turun padang untuk pastikan Semporna jangan menjadi bandar paling kotor di seluruh Asia,” katanya dalam satu video.

Nga membuat gesaan ini kerana menonton satu video yang mendakwa Semporna bandar yang kotor.

“Maka dengan segala hormatnya, saya nak minta jasa baik lah… Ahli Parlimen Semporna ini kena rajin turun padang,” katanya.

Di TikTok, pengembara, Backpacker Ben, berkongsi video dengan tanda pagar #Semporna memaparkan suatu kawasan dengan banyak sampah sarap, tertera ‘Asia’s Dirtiest Town’.

Nga mengingatkan bahawa tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia. “Ini saya serah kepada beliau untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.”

Shafie mewakili Semporna sejak 1995, malah pernah menjadi ketua menteri Sabah. Beliau juga mewakili DUN Senallang, yang mana kawasannya meliputi pekan Semporna.

Semporna menjadi gerbang untuk pelancong ke destinasi popular seperti Sipadan dan Mabul, yang menarik ribuan pelancong setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.