
Buat masa ini, katanya, mekanisme penyaluran subsidi RON95 untuk syarikat bot penumpang diberikan secara bayaran balik tunai, sebelum kaedah penyaluran subsidi dan penetapan kuota dimuktamadkan akhir bulan ini.
“Pendaftaran SKPS dibuka dari 15 Sept hingga 7 Okt lepas dengan 11,297 syarikat membabitkan 22,918 kenderaan berdaftar, manakala pendaftaran bagi syarikat bot penumpang akan dibuat mulai esok, 9 Okt,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung sistem diguna pakai stesen minyak seluruh negara dan langkah melengkapkan perkhidmatan di stesen minyak selaras pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95.
Mengenai pembangunan sistem kawalan petrol bersubsidi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah berkata, sistem itu bagi menerima permohonan syarikat kenderaan perdagangan awam dan darat serta bot penumpang, mengesahkan kelayakan dan meluluskan permohonan serta kuota.
“Sistem ini dibangunkan dengan kos RM492,900, manakala sistem penyaluran subsidi menerusi BUDI95 (Program Budi Madani RON95) untuk individu di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan.”
Menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung gangguan sistem BUDI95, beliau berkata, secara umumnya tiada masalah besar dikesan sepanjang pelaksanaan program itu dan sehingga kini hanya 34 aduan dikesan melibatkan isu gangguan sistem atau ‘glic’ dan ‘system down’ di stesen petrol.
Bagi kes gangguan sistem, katanya, pihak stesen minyak membuat bayaran balik harga subsidi kepada pengguna terkesan.
“Bagi insiden ‘system down’, pengguna boleh ke kaunter dan menggunakan terminal SARA (Sumbangan Asas Rahmah) untuk semakan kad pengenalan ke sistem Kementerian Kewangan.”