
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, turut menarik balik permohonan menangguhkan semua prosiding sementara menunggu rayuan itu dan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi lain.
Wan Shaharuddin memberitahu Hakim K Muniandy, penarikan diri itu susulan persetujuan dicapai dengan peguam Naimah, Gurdial Singh Nijar pagi tadi.
“Kami setuju menarik balik permohonan menangguhkan prosiding dan memindahkan kes ke mahkamah lain.
“Dan kami berjanji akan menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah ini bertarikh 21 Ogos 2025,” kata Wan Shaharuddin.
Muniandy merekodkan penarikan balik permohonan menangguh prosiding dan pemindahan kes, sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 10 Nov nanti.
Balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Januari 2024 atas pertuduhan bawah Seksyen 36(2) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset dikeluarkan kepadanya.
Februari lalu, Naimah memfailkan permohonan untuk merujuk lapan soalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pada 18 Feb lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menolak permohonan itu atas alasan tiada merit dan tiada isu Perlembagaan berbangkit dalam kes terbabit.
Tetapi, keputusan Azura itu dibatalkan Mahkamah Tinggi pada 21 Ogos lalu menyebabkan pihak pendakwaan merayu kepada Mahkamah Rayuan dan memohon semua prosiding ditangguhkan.
Pada 29 Sept lalu, pihak pendakwaan turut memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi lain.