
Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, pekerja boleh membuat laporan untuk tindakan lanjut.
“Itu salah. Jadi sekiranya ada mana-mana pekerja yang diarah oleh syarikat untuk mengisi kenderaan syarikat, kenderaan milik syarikat untuk tujuan itu, boleh buat laporan kepada pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) ataupun maklumkan pihak berwajib untuk tindakan diambil,” katanya di Wisma Bernama hari ini.
Fahmi mengulas mengenai video tular membabitkan seorang pekerja syarikat kurier yang didakwa mengisi petrol untuk kenderaan majikannya menggunakan BUDI95.
“Saya ada teliti satu video tular melibatkan sebuah syarikat kurier baru-baru ini, dan saya telah minta pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menghubungi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) syarikat kurier itu kerana syarikat kurier menerima lesen daripada SKMM.
“CEO syarikat kurier itu mengakui mereka mempunyai fleet card dan pekerja itu telahpun menurunkan kandungan tersebut. Syarikat kurier itu memaklumkan kepada pihak SKMM bahawa pekerja tersebut telah memohon maaf,” katanya.
Susulan itu, Fahmi berkata, beliau telah berhubung dengan Kementerian Kewangan dan Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia bagi meneliti mekanisme bantuan yang bersesuaian untuk pekerja syarikat penghantaran, khususnya dalam kalangan pekerja ekonomi gig.
“Sebab kita tahu ada dua kategori (pekerja penghantaran), mereka yang bekerja secara tetap dengan syarikat, maka syarikat penghantaran ini akan menyediakan fleet card,” katanya.
“Tetapi sekiranya mereka pekerja gig, jadi dalam aspek itu pihak Kementerian Kewangan sedang meneliti kemungkinan dimasukkan sebagai sebahagian daripada pekerja gig yang mendapat kuota BUDI95.”
Menerusi BUDI95, lebih 16 juta rakyat menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.