‘Demi keamanan di Gaza’, Anwar pertahan undang Trump

‘Demi keamanan di Gaza’, Anwar pertahan undang Trump

Perdana menteri bandingkan dengan tindakan Tunku Abdul Rahman pilih jalan diplomasi dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu.

Perhimpunan Gaza palestine Bangkit anwar ibrahim
PM Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.
PETALING JAYA:
Malaysia bersedia mempertimbangkan langkah diplomatik termasuk melibatkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sekiranya ia dapat membantu meredakan konflik di Gaza.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan Malaysia ialah mencapai keamanan di Gaza dan ia memerlukan pendekatan berani, termasuk berunding dengan pihak yang sebelum ini dilihat tidak sehaluan.

“Apa yang saya dan rakan-rakan mahu adalah damai. Damai di Gaza, merdekakan mereka. Saya bukan nak menyerah, saya nak runding,” katanya pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

Perdana menteri turut membuat perbandingan langkah ini dengan tindakan Tunku Abdul Rahman yang memilih jalan diplomasi dengan pihak penjajah British dalam usaha mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu.

“Rundingan diplomatik itu penting kerana matlamat kita kemerdekaan,” katanya.

Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memaklumkan keputusan kehadiran Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 dibuat sebulat suara oleh 10 pemimpin negara Asean, bukan hanya diputuskan oleh Anwar.

Beliau dalam pada itu menegaskan, kehadiran Trump tidak menggugat pendirian Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Dilaporkan sebelum ini, Trump menerusi perbualan telefon dengan Anwar mengesahkan kehadirannya pada sidang kemuncak Asean yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.

Sidang kemuncak itu juga akan menghimpunkan pemimpin dunia lain termasuk dari China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea, selain negara anggota Asean.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.