Biar FAM selesai proses rayuan kepada Fifa, kata Hannah

Biar FAM selesai proses rayuan kepada Fifa, kata Hannah

Menteri belia dan sukan berkata terlalu awal tubuh suruhanjaya siasat kemelut pendaftaran tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh seru semua pihak beri ruang kepada FAM melengkapkan proses rayuan susulan hukuman Fifa.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata terlalu awal bagi penubuhan suruhanjaya siasatan melibatkan tindakan Fifa mengenakan hukuman ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkait pendaftaran tujuh pemain warisan mewakili Harimau Malaya.

Katanya, semua pihak memberi ruang kepada FAM menyelesaikan proses rayuan terlebih dulu.

“Biar FAM lengkapkan dulu rayuan. Kalau rayuan pun belum selesai, kita dah mula buat siasatan atau tubuhkan suruhanjaya itu ibarat ‘bertindak sebelum masanya’.

“Saya tahu ramai mahu tindakan segera tapi kita kena ikut peringkat demi peringkat. Lengkapkan dulu rayuan, baru kita bincang langkah seterusnya termasuk siasatan atau penambahbaikan,” katanya menurut Bernama selepas mengadakan lawatan ke kem final klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Fifa mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.

Menerusi laporan rasmi bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’, Jawatankuasa Tatatertib Fifa memaklumkan tindakan itu diambil susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa melibatkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terlibat mengandungi butiran tidak sepadan dengan rekod asal dari negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.

Tujuh pemain yang digantung selama 12 bulan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Mengulas mengenai kemungkinan bantuan atau sokongan kementerian kepada FAM atau pemain terlibat, Hannah berkata tiada permintaan diterima setakat ini daripada badan induk bola sepak negara itu.

“Setakat ini, tiada bantuan diperlukan daripada KBS kerana FAM mempunyai peguam mereka sendiri dan lebih arif mengenai peraturan Fifa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.