
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raaj mewakili pasangan berkenaan untuk mendapatkan pasport mereka bermula hari ini hingga 12 Nov nanti.
“Mahkamah membenarkan permohonan itu dan pasport diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini. Ia perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 13 Nov.”
Terdahulu, Shaarvin berkata, dua anak guamnya akan menghadiri program “Islamic Historical Retreat to Istanbul-Bosnia with Sheikh Wael Ibrahim” dari 4 hingga 11 Nov ini.
“Saya mohon pasport diserahkan hari ini untuk permohonan visa dan ia akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 13 Nov.”
Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah, berkata pihaknya sudah dimaklumkan perkara itu dan tidak membantah permohonan berkenaan.
Sebelum ini, mahkamah membenarkan permohonan Vivy dan suaminya mendapatkan pasport bagi menunaikan umrah pada Disember 2024.
Pada 5 Dis tahun lalu, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai pengarah FashionValet melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank FashionValet Sdn Bhd kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan ahli Lembaga Pengarah FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara di Plaza Damansara, Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.