
Timbalan Menteri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata polis menemu bual Pannir kira-kira empat jam pada 27 Sept.
“Maklumat yang diberikan subjek tidak mempunyai ‘operational value’ (nilai operasi) bagi pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut,” katanya pada sesi kamar khas di Parlimen.
Beliau berkata, sebelum ini polis menyiasat tiga individu dinamakan Pannir dan keluarganya, namun tidak menemui sebarang kaitan.
“Kementerian mendapati bahawa tiada ruang meneruskan siasatan lagi kes ini.”
Shamsul berkata, Malaysia menghormati undang-undang Singapura dan mahkamah negara itu telah mendapati dadah dilekatkan pada kaki Pannir serta disembunyikan dalam motosikalnya, menunjukkan dia bukan sekadar seorang kurier.
Ramkarpal Singh (PH–Bukit Gelugor), yang mengemukakan usul mengenai pemenjaraan dan hukuman mati Pannir, bertanya Shamsul untuk mengesahkan sama ada polis menyerahkan kes itu kepada pendakwa raya dan sama ada keputusan dibuat atau dikelaskan ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).
Shamsul berkata, memandangkan tiada kertas siasatan dibuka, justeru tiada rujukan dibuat.
“Rujuk kepada timbalan pendakwa raya hanya dibuat selepas kertas siasatan dibuka dan ada tangkapan dan rampasan dibuat. Saya nak sebut bahawa tiada kertas siasatan dibuka.”
Shamsul sekali lagi menegaskan maklumat diberikan Pannir tidak mempunyai nilai operasi.
“Tiada ruang untuk meneruskan siasatan lagi.”
Pannir, 36, dijadualkan untuk dihukum mati esok di Singapura atas kesalahan menyeludup 51.84g diamorfin melalui pusat pemeriksaan Woodlands, pada 2014.
Dalam kenyataan, peguam N Surendren berkata keluarga Pannir akan mencabar keputusan kerajaan kerana tidak meneruskan sebarang siasatan lanjut terhadap maklumat diberikan Pannir.
Beliau mendakwa, kenyataan Shamsul bercanggah dengan maklumat dimiliki keluarga Pannir.
“Kami sudah diberi arahan oleh keluarga Pannir untuk segera memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan atas kegagalan meneruskan sebarang siasatan lanjut dalam perkara ini.
“Berdasarkan maklumat diberikan Pannir Selvam, dia berhak mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkannya mendapatkan sijil bantuan substantif daripada pihak berkuasa Singapura, yang mana akan membolehkan hukuman mati diringankan kepada hukuman penjara.”