Muhyiddin gagal gugur kes salah guna kedudukan, AMLA

Muhyiddin gagal gugur kes salah guna kedudukan, AMLA

Ia selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakannya.

muhyiddin yassin
Muhyiddin Yassin didakwa atas pertuduhan salah guna kedudukan sebagai perdana menteri untuk mendapatkan suapan RM232.5 juta dan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta dana dibayar kepada Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin gagal mengugurkan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan wang RM200 juta selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasinya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa keputusan itu telah disampaikan kepada Ahli Parlimen Pagoh pada 22 Ogos, menurut Sinar Harian.

“Susulan itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga AMLA.

“Saya juga memohon supaya semua kes berkenaan dapat dibicarakan bersama,” katanya.

Menurutnya, pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan seawal Januari tahun depan namun peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin mencadangkan ia diteruskan pada Mei atau Jun.

Hakim, K Muniandy kemudiannya menetapkan 10 November depan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Beliau juga membenarkan permohonan pendakwaan, supaya Muhyiddin dikecualikan kehadiran pada sebutan kes akan datang.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan empat tuduhan terhadap Muhyiddin atas alasan ia kabur dan tidak berasas, bagaimanapun pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan ia dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Pada 4 April lalu, Muhyiddin memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan ia membabitkan isu undang-undang yang kompleks dan berkepentingan awam.

Empat daripada tuduhan terhadap Muhyiddin membabitkan dakwaan menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat.

Tiga lagi pertuduhan membabitkan penerimaan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.