
Timbalan Menteri, Lukanisman Awang Sauni, berkata KKM sebelum ini pernah mengemukakan cadangan menaikkan cukai ke atas produk vape daripada 40 sen kepada RM4 per mililiter (ml).
“Ia satu cadangan kita akan ambil untuk dicadangkan kepada Kementerian Kewangan, kadar cukai dicadangkan kepada vape dari 40 sen kepada RM4 ml…itu cadangan dari KKM agar diterima MoF,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta penjelasan sama ada KKM akan mencadangkan kenaikan cukai sebagaimana rokok, termasuk menerusi Belanjawan 2026 sebagai langkah segera sebelum tindakan mengharamkan sepenuhnya vape dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, Lukanisman berkata KKM juga akan mengemukakan memorandum Jemaah Menteri bagi pengharaman sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape kepada Kabinet, tahun ini.
“Sememangnya KKM bertanggungjawab dan mengetahui senario semasa mengenai desakan ibu bapa, media, pemimpin setempat dan Ahli Parlimen (bagi pengharaman sepenuhnya vape).
“Kita pernah berusaha menggubal peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) sebelum ini, tetapi Ahli Parlimen mempunyai pendapat berbelah bahagi mengenai pengharaman keseluruhan berkenaan vape.
“Maka terjadilah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) dan kita ingin menggunakan akta ini untuk secara konsisten melakukan penguatkuasaan dengan lebih tegas,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mengenai kelewatan KKM sebagai agensi utama menjaga kesihatan awam melaksanakan pengharaman penuh terhadap rokok elektronik.
Lukanisman turut mendedahkan, anggaran RM244.8 juta dibelanjakan setakat ini untuk merawat penyakit E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury atau Evali yang berpunca akibat penggunaan rokok elektronik atau vape.
Katanya, angka itu dikenal pasti melalui Analisis Kesan Peraturan (RIA) dilaksanakan KKM sebelum ini.
“Sekiranya berterusan, kita terpaksa berbelanja lebih RM300 juta atau RM400 juta menjelang 2030. Justeru, kerana enggan melakukan pembaziran bagi penyakit akibat vape, sebab ini saya berikan jawapan kita akan mengemukakan memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet.
“Ia bertujuan mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya dan untuk mendapatkan dasar memulakan tindakan pengharaman vape. Daripada kita berperang dengan rokok dan vape, lebih baik kita menghapuskannya kerana ia salah satu mudarat yang ada ketika ini,” katanya.