Ketua PKR Wangsa Maju digantung setahun

Ketua PKR Wangsa Maju digantung setahun

Ia berkait penyebaran satu video awal tahun ini memaparkan Lai Chen Heng seolah-olah berbincang mengenai urusan kewangan libat cabang itu.

Lai Chen Heng
Lai Chen Heng mengekalkan jawatan ketua PKR Wangsa Maju pada pemilihan parti awal tahun ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lembaga Disiplin PKR menggantung Ketua PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng, selama setahun susulan penyebaran sebuah video memaparkannya berbincang mengenai urusan kewangan melibatkan cabang itu.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, memberitahu FMT bahawa beliau dimaklumkan Lai telah digantung setahun, dan dalam tempoh itu timbalannya, Azmee Abd Rahim, akan memangku jawatan ketua cabang.

Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Azman Abidin, turut mengesahkan perkara itu ketika dihubungi, sambil memaklumkan penggantungan berkenaan berkuat kuasa Jumaat lalu.

FMT telah menghubungi Lai untuk ulasan lanjut.

Lai disiasat Lembaga Disiplin PKR selepas tersebarnya satu video menunjukkan beliau seolah-olah mengulas mengenai sumbangan kewangan kepada cabang tersebut daripada seorang ahli perniagaan terkenal. Beliau didakwa merujuk sumbangan itu sebagai ‘dana tidak diaudit’ yang dikaitkan dengan seorang pemimpin politik kanan.

Lai mendakwa, klip itu telah disunting secara terpilih dan disebarkan dengan niat jahat bagi mencemarkan reputasinya, memandangkan ia mula tular semasa musim pemilihan PKR.

Pada April lalu, Lai menafikan dakwaan penyata kewangan Cabang Wangsa Maju bagi 2024 telah dimanipulasi, sambil menyatakan tuduhan sedemikian tidak berasas dan bermotifkan politik.

Lai mengekalkan jawatan ketua PKR Wangsa Maju pada pemilihan bahagian tersebut selepas menewaskan pencabar terdekat, Zahir, dengan majoriti 92 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.