SAPP bukan lawan DAP di kerusi majoriti Cina, kata penganalisis

SAPP bukan lawan DAP di kerusi majoriti Cina, kata penganalisis

James Chin memetik kekalahan teruk parti itu di kerusi Luyang dan Tanjung Papat pada PRN 2020.

yong teck lee
Penganalisis James Chin berkata tiada jaminan SAPP boleh menang PRN Sabah, walaupun dengan Yong Teck Lee yang ‘dikenali’ sebagai penerajunya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat Parti Maju Sabah (SAPP) yang meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah minggu ini, berisiko tewas sepenuhnya pada PRN akan datang jika bertanding di kerusi majoriti Cina.

James Chin dari Universiti Tasmania memetik prestasi parti itu pada pilihan raya lalu bagi menyokong dakwaannya.

Pada PRN 2020, parti itu kalah teruk kepada DAP di dua kerusi majoriti Cina – Luyang dan Tanjung Papat.

“SAPP akan tewas jika mereka bertanding di kawasan majoriti Cina,” kata Chin kepada FMT sambil menambah peluang parti itu tipis untuk menembusi kubu kuat DAP.

Menurutnya, kelangsungan SAPP kini bergantung kepada kerusi mana akan ditandinginya dan pakatan politiknya.

Chin berkata, walaupun SAPP masih diterajui Yong Teck Lee yang disifatkannya “jenama dikenali”, tiada jaminan parti itu mampu menang, khususnya di kerusi majoriti Cina pernah ditandinginya,

“Semua orang kenal Yong Teck Lee,” katanya merujuk tempoh Yong menjadi ketua menteri Sabah.

“Beliau tetap relevan tidak kira menang kerusi atau tidak, tetapi persoalannya adakah beliau akan bertanding?”

SAPP dan STAR akan kerjasama?

Chin menjangkakan SAPP akan bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), yang turut meninggalkan GRS pada malam Rabu lalu.

Beliau berkata, Presiden STAR, Jeffrey Kitingan sedang merancang pembentukan sebuah gabungan parti tempatan menjelang PRN akan datang.

“Kita tak tahu bentuk akhir gabungan itu, tetapi ia dijangka menghimpunkan parti tempatan Sabah dan bukannya dari Semenanjung Malaysia.”

Oh Ei Sun dari Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia berkata, SAPP yang bukan lagi sebahagian GRS kini bebas bertanding kerusi diingininya – faktor yang mungkin menjadi pertimbangan utama dalam keputusannya meninggalkan gabungan pemerintah itu.

Jika parti itu kekal dalam GRS, katanya, ia perlu berpuas hati dengan jumlah kerusi terhad dan mungkin terpaksa bertanding di kawasan tidak memihak kepadanya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan yang membentuk pakatan pilihan raya dengan GRS dijangka bertanding di kerusi lebih berpotensi dimenanginya, termasuk yang disasarkan SAPP.

“Jadi, mungkin SAPP fikir ini pilihan lebih baik dari segi politik.”

Tetapi, Oh berkata, persoalan penting sama ada Yong masih melihat dirinya relevan dari segi politik dan beliau mungkin sedang melatih barisan kepimpinan muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.