PKR Sabah guna modul perpaduan persekutuan hadapi PRN17

PKR Sabah guna modul perpaduan persekutuan hadapi PRN17

Ketua PKR Sabah berkata, pihaknya mahu rakyat Sabah nikmati pentadbiran efisyen dan efektif seperti ditawarkan PM Anwar Ibrahim pada peringkat persekutuan.

Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata, matlamat partinya adalah untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kehidupan berkualiti dan sejahtera di rumah sendiri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR Sabah akan menggunakan modul perpaduan peringkat persekutuan sebagai asas dalam menghadapi PRN17, yang dijangka diadakan dalam masa terdekat susulan pembubaran DUN Sabah hari ini.

Ketuanya, Mustapha Sakmud berkata, perjuangan PKR untuk mentadbir Sabah dengan integriti, ketelusan dan tatakelola yang baik akan diteruskan berlandaskan semangat reformasi yang menjadi teras perjuangan parti sejak awal penubuhannya.

“Yang lebih utama adalah untuk memastikan rakyat Sabah dapat menikmati pentadbiran efisyen lagi efektif sebagaimana yang dibawakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada peringkat persekutuan.

“Matlamat kami hanya satu, iaitu untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kehidupan berkualiti dan sejahtera di rumah kita sendiri,” katanya dalam kenyataan, susulan pengumuman pembubaran DUN Sabah secara rasmi oleh Ketua Menteri Hajiji Noor petang tadi.

Terdahulu Hajiji berkata, keputusan membubarkan DUN dibuat susulan perkenan Yang di-Pertua Negeri Musa Aman.

Beliau berkata, pembubaran DUN ini memberi laluan kepada PRN17 diadakan, memberi kuasa kepada rakyat Sabah ‘menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka’.

Dilaporkan sebelum ini, GRS di bawah pimpinan Hajiji kekal meneruskan kerjasama strategik dengan PH bagi menghadapi PRN17.

Anwar selaku pengerusi PH komited untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara PH, Barisan Nasional (BN) dan GRS demi kestabilan politik. Bagaimanapun, hasrat ini berdepan cabaran apabila BN mengambil pendirian untuk tidak bekerjasama dengan GRS.

BN bagaimanapun menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan parti lain, termasuk PH, di bawah formula ‘BN-PH plus plus plus’.

Menurut Pengerusi BN Zahid Hamidi, langkah ini bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi yang berpotensi dimenangi.

Sementara itu, parti-parti tempatan lain turut mengambil haluan masing-masing dengan Warisan pimpinan Shafie Apdal secara konsisten mengumumkan akan bertanding solo di kesemua 73 kerusi DUN.

Sementara itu, dua parti komponen GRS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), telah mengumumkan keluar daripada gabungan itu untuk bertanding menggunakan logo sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.