
Menurut Laporan Ketua Audit Negara berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024, sistem itu akan dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Sistem Digital JPJ.
“Pada masa kini, pembangunan sistem tersebut di peringkat Kajian Keperluan Sistem (SRS) dan dijangka dilaksanakan pada Okt 2026,” menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat.
Laporan itu memaklumkan, hasil yang dikutip JPJ melalui penjualan nombor pendaftaran kenderaan dari 2022 hingga 2024 adalah RM1.648 bilion.
Bagaimanapun, anggaran hasil tambahan sekurang-kurangnya RM115.96 juta boleh dikutip jika nombor pendaftaran yang disekat dan tidak aktif ditawarkan pada harga minimum.
Menurut laporan itu terdapat 375,792 nombor pendaftaran tamat tempoh tidak terjual setakat 2024 dan 134 nombor pendaftaran disekat ditawarkan bawah harga minimum, yang masing-masing boleh memberi anggaran tambahan hasil sekurang-kurangnya RM112.73 juta dan RM795,150.
Semakan audit juga mendapati daripada 219 permohonan untuk mendapatkan semula nombor pendaftaran yang telah tamat tempoh, 12 permohonan yang diluluskan hanya dikenakan bayaran fi perkhidmatan sebanyak RM10 berbanding hasil penuh RM23,100 yang boleh dikutip jika harga minimum dikenakan.
Harga minimum untuk nombor pendaftaran ditetapkan adalah antara RM300 hingga RM20,000 mengikut kategori Semasa, Popular, Menarik dan Premium, manakala fi perkhidmatan sebanyak RM10 dikenakan bagi setiap nombor yang ditawarkan.
Semakan audit selanjutnya turut mendapati asas penetapan harga ditawarkan bagi Nombor Baki kategori Popular tidak seragam antara JPJ negeri.
Berdasarkan penemuan tersebut, jabatan itu disyorkan supaya melaksanakan penambahbaikan dengan memastikan nombor yang tidak aktif ditawarkan kepada orang awam dan mengunci harga minimum nombor pendaftaran mengikut kategori ditetapkan melalui tetapan dalam sistem mySIKAP bagi membolehkan hebahan yang lebih meluas.
JPJ juga disyorkan menyemak semula prosedur operasi standard dan bidang kuasa Jawatankuasa Khas Nombor Pendaftaran bagi memastikan hasil dapat dikutip secara maksimum serta mengelakkan ketirisan hasil.