
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata langkah itu bertujuan memberikan pendedahan dan liputan luas kepada rakyat mengenai fungsi serta peranan JKPK dalam membincangkan isu semasa.
“Pada minggu ini iaitu hari ini hingga Khamis, urusan Dewan Rakyat fokus kepada penerangan mengenai penyata oleh pengerusi JKPK, perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara, penerangan daripada menteri serta rang undang-undang (RUU).
“Hari ini juga Dewan Rakyat mencatat satu lagi sejarah dalam akauntabiliti badan eksekutif kepada Dewan Rakyat iaitu satu hari diperuntukkan untuk melaksanakan urusan penerangan oleh pengerusi jawatankuasa pilihan mengenai penyata-penyata jawatankuasa pilihan yang dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya dalam pemasyhuran sebelum sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
JKPK berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian tertentu, yang berfungsi menyemak dasar, tadbir urus, RUU dan isu melibatkan kementerian tersebut agar kerajaan melaksanakan tanggungjawab secara kolektif dan telus.
Mengulas kenyataan beberapa Ahli Parlimen berkenaan dakwaan kewajipan RUU dirujuk kepada JKPK, Johari menegaskan Peraturan Mesyuarat 80B(3)(a) dengan jelas memperuntukkan bahawa menjadi tanggungjawab JKPK untuk meneliti RUU yang dibacakan kali pertama.
Beliau berkata Peraturan Mesyuarat 80B(5) pula membolehkan JKPK memanggil kementerian untuk memberikan penjelasan dan penerangan terperinci berhubung sesuatu RUU yang telah dibacakan kali pertama.
“Berkenaan status RUU yang dilulus di Dewan Rakyat tanpa JKPK memanggil kementerian untuk meneliti RUU tersebut, ingin saya maklumkan bahawa isu tersebut adalah tidak berbangkit.
“RUU tersebut adalah teratur dan sah kerana pembentangan kepada JKPK bukanlah sebahagian daripada proses meluluskan sesuatu undang-undang, sebaliknya sebagai platform rasmi untuk kementerian mendapatkan maklum balas awal berhubung RUU yang akan dibentangkan kelak,” katanya.
Johari berkata amalan yang sama itu juga telah dilaksanakan sebelum pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat terkini.