Malaysia teroka kerjasama teknologi baharu air, tenaga dengan China

Malaysia teroka kerjasama teknologi baharu air, tenaga dengan China

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerjasama Malaysia-China rangkumi pengurusan dan rawatan air, mitigasi banjir serta tenaga boleh baharu.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bersama Naib Premier China Liu Guozhong ketika sesi lawatannya ke Beijing. (Gambar Facebook Fadillah Yusof)
PETALING JAYA:
Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof ke China yang berakhir 23 Sept lalu membuka ruang untuk Malaysia meneroka kerjasama dalam bidang teknologi air dan tenaga.

Fadillah, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata kerjasama itu merangkumi pengurusan dan rawatan air, mitigasi banjir serta tenaga boleh baharu seperti solar, hidro, simpanan bateri dan tenaga nuklear.

“Kerjasama dalam bidang air dan tenaga ini adalah langkah penting bagi pembangunan mampan yang memberi kesan terus kepada kesejahteraan rakyat.

“Malaysia dan China berkongsi cabaran yang sama dalam memastikan sekuriti air, terutama dengan kesan perubahan iklim dan urbanisasi pesat,” katanya dalam kenyataan menutup lawatan tujuh hari ke republik itu.

Fadillah berkata teknologi yang menarik perhatian ialah sistem Integrated Riverbed Water Intake (IWIS) di Chongqing, yang dilihat berpotensi untuk diadaptasi di Malaysia, termasuk bagi penyahgaraman air laut di Labuan.

Kerjasama penyelidikan bersama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan institusi China turut akan diperkukuh bagi membangunkan inovasi dalam daya tahan iklim, pengurusan lembangan sungai serta rawatan air.

Dalam sektor tenaga, Fadillah berkata kepimpinan China dalam tenaga bersih membuka peluang kerjasama untuk memperkukuh Pelan Transformasi Tenaga Nasional (NETR) Malaysia.

Tambahnya, Malaysia turut mengiktiraf kepentingan kepelbagaian sumber termasuk nuklear sebagai laluan menuju sasaran Net Zero 2050 dan menyambut baik kolaborasi dengan China dalam penggunaan aman teknologi tersebut.

Sebagai Pengerusi Asean 2025, Malaysia juga memacu perbincangan ‘Enhanced MoU’ mengenai Asean Power Grid (APG), satu inisiatif yang dilihat bakal mewujudkan perdagangan kuasa pelbagai hala dan memberi manfaat kepada seluruh rantau.

Katanya, lawatan rasmi ini telah mengukuhkan aspirasi bersama untuk hubungan Malaysia-China yang lebih kukuh, berpandangan ke hadapan, dan berteraskan kepercayaan, saling bergantungan ekonomi, serta pembangunan mampan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.