Konflik dalaman Bersatu berisiko jejas impian ‘pembangkang bersatu’

Konflik dalaman Bersatu berisiko jejas impian ‘pembangkang bersatu’

Penganalisis berkata konflik dalaman Bersatu boleh mengganggu fokus Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin (tengah) mengetuai gabungan longgar 11 parti yang mahu kerajaan dipertanggungjawabkan dalam aspek tadbir urus, dasar ekonomi, pendidikan dan sosial. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik berpendapat, pergolakan berterusan dalam Bersatu mungkin menjejaskan usaha parti itu membentuk “pakatan pembangkang bersatu” yang longgar.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, perpecahan dalaman menjadi cabaran serius terhadap kestabilan dan perpaduan pakatan pembangkang lebih luas, selain tumpuan Presiden Muhyiddin Yassin terbahagi kepada dua perkara merupakan kebimbangan utama.

Azmi Hassan.

“Dengan Bersatu terus bergelut dengan konflik dalaman, sangat sukar bagi Muhyiddin menumpukan perhatian kepada gabungan longgar ini,” katanya kepada FMT.

Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Asia Tenggara pula berkata, ketiadaan Muhyiddin atau kelemahan kepimpinan akan menjejaskan hala tuju pakatan itu dan menguji keupayaannya mara ke depan.

“Beliau arkitek utama pakatan itu. Kepimpinannya menjadi tumpuan – sebagai pusat penstabil.”

Azmi berkata, sebarang cubaan PAS mengambil alih kepimpinan hanya akan merumitkan keadaan, khasnya berdasarkan reputasi parti Islam itu dalam kalangan pengundi bukan Melayu, segmen penting disasarkan kumpulan itu.

Asrul Hadi Abdullah Sani.

“PAS sudah menyukarkan Perikatan Nasional (PN) untuk menarik undi bukan Melayu, jadi jika ia menerajui gabungan lebih luas ini, keadaan mungkin lebih teruk.”

Asrul berkata, ideologi dan agenda PAS yang bersifat memecahbelahkan akan menghalang parti lain dalam gabungan longgar itu.

Beliau berkata, Timbalan Presiden Bersatu dan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin berpotensi mengetuai pakatan itu, walaupun beliau mungkin turut tertekan dengan konflik dalaman parti.

“Walaupun PAS mempunyai sokongan kukuh akar umbi, peralihan kepimpinan boleh menjejaskan hubungan dengan parti lebih pragmatik dalam gabungan itu, meningkatkan ketegangan dalaman dan risiko perpecahan.”

Asrul berkata, tiada ideologi bersama untuk menyatukan parti dalam PN, kecuali “pragmatisme politik” daripada rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Tetapi, katanya, itu mungkin tidak cukup untuk menyatukan pakatan itu.

Julai lalu, Majlis Tertinggi PN menugaskan Muhyiddin untuk mengetuai usaha membentuk barisan pembangkang bersatu sebagai persiapan berdepan PRU16.

Pada 18 Ogos lalu, 11 parti di luar blok kerajaan bersetuju membentuk pakatan longgar bagi memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan dalam aspek tadbir urus, dasar ekonomi, pendidikan dan sosial, dengan Muhyiddin menerajui gabungan itu.

Gabungan itu terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia, Putra, Berjasa, Urimai, Parti Kemajuan Malaysia dan Parti Perikatan India Muslim Nasional.

Pergolakan dalaman Bersatu menjadi tumpuan pada perhimpunan agung tahunannya bulan lalu, apabila Muhyiddin dalam ucaptamanya mendedahkan wujud cubaan menggulingkannya – mencetuskan laungan mendesak beliau berundur. Parti itu tetap menamakannya calon perdana menteri bagi PRU16.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menuduh Setiausaha Agung, Azmin Ali, mengugut beberapa pemimpin bahagian didakwa terbabit komplot menjatuhkan Muhyiddin.

Beliau turut mendakwa Azmin, yang dilihat sehaluan dengan Muhyiddin, tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi ‘video melampau’ didakwa membabitkan dirinya belum selesai.

Rabu lalu, Azmin menolak dakwaan itu tidak disokong fakta dan mencerminkan “budaya fitnah” yang berisiko memecahbelahkan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.