Intai usahawan mandi, pekerja inap desa dipenjara 6 bulan

Intai usahawan mandi, pekerja inap desa dipenjara 6 bulan

Tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan pencerobohan dan mengintai seorang usahawan mandi di Kampung Jeram, Manir, Ogos lalu.

Ahmad Farhan Rizal Abdullah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan tiga bulan bagi kesalahan pertama serta kedua bermula tarikh sabitan, dengan dua hukuman itu berjalan serentak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang pekerja inap desa yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan pencerobohan dan mengintai seorang usahawan mandi di sebuah penginapan di Kampung Jeram, Manir.

Berita Harian melaporkan Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Dia didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita kira-kira 12.30 tengah malam 26 Ogos lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan mulai tarikh sabitan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu turut mengaku bersalah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki premis penginapan pada masa dan tarikh sama.

Untuk itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula tarikh sabitan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya, dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan, Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Media melaporkan seorang peniaga wanita dipercayai menjadi mangsa ‘skodeng’ dalam bilik mandi ketika bercuti dan membuat penggambaran baju Melayu di sebuah inap desa di Manir.

Mangsa 36 tahun dari Ampang, Kuala Lumpur itu mendakwa ternampak tangan seseorang memegang telefon bimbit di tingkap bilik mandi sebelum menjerit memanggil suaminya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.