Borang pelepasan mudahkan pembebasan, bukan serah kalah, kata Tok Mat

Borang pelepasan mudahkan pembebasan, bukan serah kalah, kata Tok Mat

Menteri luar negeri berkata jika 23 peserta GSF tidak menandatangani borang permohonan pelepasan segera, mereka mungkin ditahan lebih lama di Israel.

Khamis lalu, 23 sukarelawan Malaysia ditahan rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di Laut Mediterranean sebelum mereka dibawa ke pelabuhan Ashdod di Israel. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, berkata jika 23 peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) tidak menandatangani borang ‘request for immediate departure’ atau permohonan pelepasan segera, mereka mungkin ditahan pihak berkuasa Israel lebih lama.

Katanya, borang itu bukannya meminta mereka menyerah kalah, tetapi bagi memudahkan proses penghantaran pulang ke tanah air.

Justeru, beliau berharap masyarakat tidak salah faham dengan gesaan supaya peserta GSF menandatangani borang berkenaan.

“Ramai yang tidak faham apabila mereka mengkritik dan mengutuk cadangan saya supaya peserta GSF menandatangani borang pelepasan ini.

“Ini memang prosedur operasi standard sebelum mereka menyertai misi ini. Ia salah satu syarat yang diberitahu pihak sekretariat kerana kita sudah menjangkakan mereka akan ditahan seperti mana misi flotilla dahulu,” katanya menurut Sinar Harian di Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad di Sendayan, Negeri Sembilan.

Khamis lalu, 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod di Israel.

Semua sukarelawan Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di Israel pada 6.45 petang semalam (waktu Malaysia) sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam tadi (waktu Malaysia).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Mohamad berkata, peserta GSF tidak perlu melalui proses perundangan rumit dan boleh dibebaskan segera kerana mereka sudah menandatangani borang itu.

“Jadi, proses ini diringkaskan dengan kita minta semua peserta menandatangani borang mengakui mereka memasuki kawasan Israel secara tidak sah.

“Apabila mereka membuat pengakuan tersebut, maka mereka boleh dihantar keluar segera dari Israel dan ini memudahkan kita menguruskannya.”

Mengenai lapan sukarelawan Malaysia yang kini menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG), Mohamad berkata, kaedah sama akan digunakan jika mereka turut ditahan.

“Kita tidak tahu berapa lama mereka akan ditahan dan bagaimana keadaan penjara di sana.

“Jadi, lebih baik tandatangan (borang) dan janganlah pula tuduh kerajaan atau saya dengan mengatakan kita mengalah atau menyerah kepada Israel.”

Selaku menteri luar negeri, beliau yang lebih dikenali Tok Mat berkata, tugasnya untuk memastikan semua rakyat Malaysia terbabit misi itu dapat dibawa pulang dengan segera dan selamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.