Anwar tangkas berunding bebas sukarelawan GSF, kata penganalisis

Anwar tangkas berunding bebas sukarelawan GSF, kata penganalisis

Mereka berkata perdana menteri manfaat hubungan dengan negara seperti Turki dan Jordan, yang mempunyai hubungan dengan Israel demi memastikan kebebasan aktivis tersebut.

sumud flotilla
Seramai 23 rakyat Malaysia menyertai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan pantas Perdana Menteri Anwar Ibrahim memastikan pembebasan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel menonjolkan keupayaan diplomatik Malaysia serta kebolehannya berunding dengan pemimpin dunia, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata kejayaan itu menunjukkan keberkesanan diplomasi moral dan rangkaian antarabangsa Malaysia, walaupun negara tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel, lapor Bernama.

“Anwar menggunakan pendekatan ‘diplomasi rentas sempadan’ serta rundingan tertutup melalui negara pihak ketiga seperti Mesir, Jordan, Qatar, dan Turki.

“Negara ini mempunyai pengaruh langsung terhadap Israel dan akses ke Gaza. Ini mencerminkan strategi diplomatik pelbagai lapisan,” katanya seperti dipetik.

Awang Azman berkata, Anwar menggunakan pendekatan berlapis – daripada diplomasi kemanusiaan yang mengutamakan keselamatan sukarelawan berbanding politik, hinggalah kepada usaha pelbagai hala melalui badan seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Asean, dan Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Beliau berkata, kejayaan itu meningkatkan imej Anwar dalam negara sebagai seorang pemimpin berprinsip dan berempati, sementara di peringkat antarabangsa, ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai ‘suara moral Dunia Selatan’.

“Dari segi strategik, ia meletakkan Anwar sebagai pemimpin Islam moden dan progresif yang bijak mengimbangi prinsip dengan realiti geopolitik. Ia memperkukuh imejnya sebagai ‘perunding berjiwa nurani’, seorang pemimpin yang menegakkan keadilan tanpa tunduk kepada tekanan global.

“Dalam konteks ini, Anwar memperkukuh legasi diplomatik Malaysia sebagai sebuah negara lantang bersuara, namun bertindak dengan berhikmah — satu keseimbangan yang jarang ditemui dalam arena antarabangsa masa kini,” katanya.

Turut senada, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata Malaysia memanfaatkan sepenuhnya hubungan eratnya dengan Jordan dan Turki, yang kedua-duanya mempunyai saluran langsung dengan Tel Aviv.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil diplomasi strategik yang konsisten kepimpinan negara.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan rapat antara para pemimpin. Kita tidak boleh mengetepikan negara yang mempunyai hubungan dengan Israel, kerana hubungan sedemikian boleh digunakan secara berhikmah untuk memberi tekanan diplomatik.

“Inilah bentuk diplomasi halus ditunjukkan perdana menteri,” katanya.

Azmi menyatakan bahawa Anwar telah menggunakan kaedah sama dalam menangani konflik serantau, seperti berunding dengan China dan Amerika Syarikat bagi membantu mencapai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, awal tahun ini.

Beliau berkata, kredibiliti global Anwar kekal kukuh, walaupun masih ada pihak dalam negara yang enggan mengiktiraf pencapaiannya akibat pertembungan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.